MELAKA, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Melaka menyeru agar semua syarikat utiliti di negeri itu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) lengkap dan memastikan pengawasan ketat dilaksanakan secara konsisten bagi mencegah sebarang insiden yang tidak diingini.
Ketua Menterinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata perkara itu penting, kerana setiap satu insiden berpotensi membawa risiko besar yang mengancam keselamatan, mengganggu operasi perniagaan serta menjejaskan kelancaran bekalan tenaga kepada masyarakat.
“Melaka merupakan antara negeri yang menjadi laluan grid Peninsular Gas Utilisation (PGU) dan terdapatnya Terminal Regasifikasi Sungai Udang, yang menyalurkan bekalan gas selamat dan konsisten bukan sahaja untuk negeri ini, malah ke kawasan utara dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
“Di sebalik kepentingan ini, kita tidak boleh memandang mudah terhadap risiko dan ancaman yang wujud sekiranya aspek keselamatan diabaikan dan kita tidak mahu insiden letupan paip gas di Putra Heights, Selangor pada awal tahun ini berulang,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Forum Keselamatan: Kesedaran Masyarakat Tentang Fasiliti Utiliti peringkat negeri Melaka, yang dihadiri pelbagai syarikat dan agensi utiliti di negeri itu antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petronas Gas Berhad dan Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd.
Ab Rauf berkata insiden letupan di Putra Heights menjadi pengajaran yang membuka mata bahawa fasiliti utiliti bukan sekadar infrastruktur, tetapi aset kritikal yang boleh mendatangkan risiko besar jika tidak dikawal dengan baik.
Beliau berkata sehubungan dengan itu, kerajaan negeri telah meminta Majlis Keselamatan Negara Melaka untuk mengadakan libat urus bersama semua syarikat utiliti dan memastikan advokasi keselamatan sampai ke peringkat akar umbi termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Saya menaruh harapan yang tinggi kepada JPKK untuk berperanan sebagai bapa angkat kepada syarikat atau agensi utiliti di kawasan mereka, dengan menjadi mata dan telinga kerajaan, khususnya dalam mengenal pasti dan melaporkan sebarang risiko atau insiden berkaitan fasiliti utiliti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan rekod TNB, sebanyak 193 kes mengubah atau mengganggu meter elektrik direkodkan berlaku di Melaka pada tahun ini, berbanding 521 kes pada tahun lepas.
Ab Rauf berkata bagi kes pencerobohan serta kecurian infrastruktur pula, sebanyak tujuh kes dilaporkan pada tahun ini berbanding tiga kes pada tahun lepas dan perbuatan itu berisiko mengancam keselamatan awam selain menjejaskan operasi perniagaan TNB.
Terdahulu, beliau berkata penganjuran forum Keselamatan utiliti itu bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan saluran utiliti serta penilaian risiko, menghebahkan tindakan pemantauan dan pencegahan oleh syarikat utiliti serta memperkukuh peranan masyarakat dalam memelihara laluan utiliti dan menyebarkan maklumat keselamatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial