AM

MINDEF Tumpu Tingkatkan Pos Kawalan Sempadan Malaysia-Kalimantan

20/08/2025 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertahanan memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan pos kawalan di kawasan sempadan negara khususnya antara Malaysia dan Kalimantan, Indonesia.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kementerian komited untuk memastikan pembinaan pos kawalan yang baharu dapat diteruskan demi menjamin keselamatan di sempadan negara, meskipun terdapat cabaran daripada aspek logistik untuk membina pos kawalan di lokasi tertentu.

“Secara keseluruhan dalam rangka Kementerian Pertahanan tahun ini dan tahun seterusnya, memang peningkatan kepada pos di sempadan Kalimantan akan dipertingkatkan.

“Cabaran kita untuk sediakan pos di sempadan dengan Kalimantan dari segi logistik agak sukar…berdasarkan pengalaman pihak kontraktor, sukar untuk membangunkan pos kawalan di sesetengah kawasan kerana ia benar-benar di kawasan pedalaman,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS-Selangau) yang ingin tahu status pembinaan pos kawalan di kawasan Long Singut, Kapit, Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan bagi mengatasi aktiviti pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.

Sementara itu, Adly berkata sebanyak 60 pegawai dan 1,004 anggota lain-lain pangkat (LLP) Tentera Darat Malaysia (TDM) telah diatur gerak dalam operasi melibatkan kawasan perbatasan Malaysia-Thailand.

“Operasi ini merangkumi Op Pagar II dan Op Kota Bravo/Charlie/Delta di Kedah, Op Pagar III dan Op Kota Echo/Foxtrot di Perak serta Op Merpati Sektor 8 Briged di Kelantan,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai status penempatan anggota dan aset pertahanan di sempadan Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan bagi mengawal risiko pencerobohan, penyeludupan dan aktiviti rentas sempadan yang semakin aktif sejak 2023.

Adly berkata pelaksanaan operasi itu turut ditambah baik menerusi penugasan aset baharu seperti kenderaan pacuan empat roda, motosikal scrambler, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), serta senggaraan infrastruktur secara berterusan di semua pos penempatan operasi yang diselaras Jawatankuasa Perancang Gerakan.

Beliau berkata kawalan di kawasan sempadan turut diperkukuh dengan kerjasama dua hala antara TDM dan Tentera Diraja Thailand menerusi perjanjian General Border Committee Malaysia-Thailand.

“Antara bentuk kerjasama itu ialah mesyuarat Regional Border Committee, Mesyuarat Land Working Group dan rondaan gabungan Combined Force Border Patrol yang dikoordinasi Malaysia-Thailand Border Coordination Office,” katanya.

Beliau berkata empat Pos Sempadan Terkoordinasi (PST) juga diwujudkan melalui pembinaan pos secara bersebelahan antara kedua-dua negara iaitu PST Ban Di Da dan Ban Di Samoe di daerah Sik, Kedah serta PST 34 dan 36/100 di kawasan Durian Burung, Padang Terap, Kedah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan