AM

JPN Laksana 1,633 Program MEKAR, Terima 24,863 Permohonan

20/08/2025 01:36 PM

PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah melaksanakan sebanyak 1,633 program MEKAR setakat 31 Julai lepas, dengan kira-kira 24,863 permohonan telah diterima dan diproses.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata selain menguruskan permohonan kad pengenalan, sebanyak 20,792 khidmat nasihat telah direkodkan semasa program MEKAR diadakan.

Bagi program MEKAR DIDIK, khusus untuk anak-anak yang pada usia persekolahan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atas pelbagai sebab, beliau berkata sasaran untuk menyelesaikan 12,101 masalah keciciran dokumentasi, telah berjaya dicapai Jun lepas.

“Saya ingat waktu itu bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji (Ubi), bila dia berpindah ke Kementerian Pendidikan (KPM), dia yang mengesan masalah ini.

“Saya gembira memaklumkan bahawa sasaran 12,101 pelajar keciciran dokumen seperti yang dikenal pasti KPM telah berjaya kami bantu,” katanya kepada media selepas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat KDN serta Majlis Perhimpunan Bulanan KDN bagi Ogos 2025 di sini, hari ini.

Bagi program MEKAR Diaspora, Saifuddin Nasution berkata pihak JPN akan berada di Melbourne, Australia dari 14-28 Sept, diikuti dengan London dari 5-17 Okt, bertujuan membantu rakyat Malaysia di luar negara yang berdepan kesulitan mendapatkan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan JPN.

“Maknanya kita bawa pegawai JPN ke sana untuk satu tempoh. Semua rakyat Malaysia yang tinggal di negara berkenaan, kalau dia ada masalah dokumentasi, mereka tak payah balik (Malaysia) dengan kos yang besar tapi kita pergi (ke sana).

“Kita bawa staf kita pergi itu jauh lebih kecil kos berbanding dengan kalau semua rakyat Malaysia yang memerlukan perkhidmatan kami perlu pulang ke negara ini,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata dua peraturan JPN telah ditambah baik di bawah inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), dengan tujuan utama untuk mengurangkan kerenah dan bebanan birokrasi yang tidak lagi relevan.

“Antara inisiatif RKB yang telah dilaksanakan JPN ialah mempercepatkan proses permohonan Pendaftaran Lewat Kelahiran di bawah umur 5 tahun yang lahir di fasiliti kesihatan kerajaan daripada tiga bulan kepada 30 hari.

“Dan mempercepatkan proses pengeluaran cabutan atau salinan Sijil Daftar Kelahiran di Luar Negara (Borang H) daripada 52 hari ke tujuh hari,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan