JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Buli Di Pasir Mas: Enam Pelajar Tingkatan Empat Direman

20/08/2025 05:51 PM

KOTA BHARU, 20 Ogos (Bernama) -- Enam pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Pasir Mas direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes buli terhadap seorang pelajar sekolah yang sama.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Pasir Mas, dan kesemua suspek berusia 16 tahun itu ditahan semalam.

Beliau berkata kejadian itu berlaku pada 12.45 tengah hari pada Isnin lepas, pengadu mendakwa ditumbuk dan disiku di bahagian kepala serta ditendang di punggung oleh lima pelajar lelaki.

“Seorang daripada suspek turut bertindak melondehkan seluar sukan yang dipakai pengadu sehingga paras lutut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan di bahagian kepala serta trauma untuk ke sekolah kerana sering diganggu oleh suspek yang sama berulang kali.

“Mangsa memaklumkan perkara itu kepada ibu bapanya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Mas dan hasil siasatan awal mendapati semua suspek mengaku terlibat membuli mangsa.

Kama Azural berkata kes disiasat di bawah Seksyen 323/507B Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan