AM

Kursus AI Bernama Sokong Agenda Digital Negara, Asah Kemahiran Pengamal Media Utara

20/08/2025 05:01 PM

BUTTERWORTH, 20 Ogos (Bernama) -- Kursus AI In Action: Revolutionizing News In The Digital Age anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk pengamal media memberi pendedahan mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang kewartawanan seiring keperluan memperkukuh agenda transformasi digital negara.

Kursus itu, yang dihadiri 20 pengamal media di wilayah utara khususnya Pulau Pinang, Perlis dan Perak selama dua hari bermula hari ini, juga dilihat relevan dalam perkembangan pesat media digital.

Tenaga pengajar Nitra Sari Omar berkata kursus itu memberi pendedahan kepada strategi penggunaan AI untuk meningkatkan kecekapan kerja, memastikan ketepatan laporan sekali gus memperluas capaian kandungan berita kepada khalayak yang lebih pelbagai.

"Organisasi berita perlu lihat AI bukan sebagai pengganti tetapi sebagai alat. Automasi boleh bantu kerja rutin seperti transkripsi, ringkasan berita atau analisis data supaya wartawan boleh fokus kepada kerja utama iaitu menyiasat, bercerita dengan konteks tempatan dan memastikan fakta tepat. 

"Relevan itu datang bila media mampu gabungkan teknologi dengan sentuhan manusia yang autentik," katanya kepada Bernama.

Presiden Kelab Media Mutiara Mohd Iskandar Othman pula berkata wartawan pada era digital perlu menguasai AI secara efektif kerana dunia kewartawanan bergerak pantas dengan limpahan maklumat yang perlu ditapis dan diverifikasi. 

"AI bukan lagi sekadar alat tambahan tetapi satu keperluan untuk meningkatkan produktiviti dan wartawan yang mahir menggunakannya mampu menghasilkan berita dengan lebih cepat, menganalisis data besar, mengenal pasti trend serta mengurangkan beban tugasan teknikal yang berulang,” katanya.

Bagaimanapun, wartawan Sinar Harian itu berkata penguasaan tersebut perlu seiring dengan etika dan prinsip kewartawanan supaya laporan tetap berkualiti serta berintegriti.

Kursus itu dilihat menjadi platform jaringan kerjasama antara wartawan pelbagai agensi di utara tanah air selain membina kesedaran bahawa penggunaan teknologi baharu perlu disepadukan dengan etika dan integriti kewartawanan.

Kursus di Pulau Pinang itu adalah siri ke-10 dalam penganjuran latihan AI untuk pengamal media dan antara lokasi yang telah dilaksana ialah Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Kedah, Johor, Terengganu serta Pahang. 

Bernama merupakan penyelaras kursus Al untuk media di bawah peruntukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.  

Pada 12 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan lima tonggak dalam Rangka Kerja Negara AI untuk memastikan AI memberi manfaat kepada setiap rakyat Malaysia iaitu dasar berpandangan ke hadapan; tenaga kerja yang dinamik dan celik digital; infrastruktur digital yang selamat dan dipercayai; pemerkasaan kepercayaan digital serta pelaburan strategik yang akan membangunkan ekosistem AI yang berdaya maju melalui perkongsian awam-swasta dan kerjasama global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan