KAJANG, 20 Ogos (Bernama) -- Seorang penuntut sebuah universiti yang didakwa atas lapan pertuduhan cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan membabitkan tujuh mangsa diarah menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan bermula hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Normastura Ayub dan Majistret Fatin Dayana Jalil memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan dan Siti Nur Alia Safri, yang memaklumkan tertuduh warga China, Liu Ting, 24, dilihat keliru seolah-olah tidak memahami pertuduhan dibacakan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan memerintahkan wanita itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak untuk mendapatkan pemeriksaan psikiatri selain menetapkan sebutan kes pada 19 Sept depan.
Terdahulu, Faelly tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dihadapi tertuduh adalah serius dan tidak boleh dijamin selain memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia bagi mendapatkan pemeriksaan psikiatri.
“Semasa pertuduhan dibacakan, tertuduh dilihat seperti keliru dan seolah-olah tidak memahami pertuduhan tersebut. Oleh itu, kami mohon tertuduh mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia,” katanya.
Di Mahkamah Sesyen, Liu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu dengan niat cuba membunuh dua lelaki berumur 19 dan 21 tahun serta menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 35 tahun yang sekiranya tertuduh menyebabkan kematian, maka dia akan bersalah bagi kesalahan membunuh.
Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun serta denda dan sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang, pesalah itu boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi dua pertuduhan lagi, dia juga mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita berumur 60 tahun dengan menetak lengan kanan mangsa menggunakan sebilah pisau, iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah, dan menikam perut seorang lelaki berumur 27 tahun menggunakan pisau.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap dua lelaki berumur 21 dan 49 tahun serta seorang wanita berumur 53 tahun dengan menggunakan sebilah pisau.
Liu memahami tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa namun dia hanya berdiam diri dan tiada pengakuan dibuat.
Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Lapan kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai jahitan dan kraf tangan benang emas di Jalan Besar, di Jalan Semenyih Persimpangan Metropoint dan di sebuah premis di Kompleks Metropoint di sini, antara 11.39 pagi hingga 12 tengah hari pada 13 Ogos lepas.
Sebelum ini, tular di media sosial video kejadian tersebut yang memaparkan seorang wanita terlibat dalam kemalangan sebelum keluar daripada kenderaannya dengan memegang sebilah pisau.
Turut kelihatan beberapa penunggang motosikal yang cedera dan cubaan orang ramai untuk menahan wanita terbabit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial