SUKAN

Sukan SEA Pekak 2025: Kontinjen Negara Terima Suntikan Semangat Duta Besar Malaysia

20/08/2025 09:45 PM

Oleh Farah Najihah Zuraimi

JAKARTA, 20 Ogos (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin hari ini menerima kunjungan hormat kontinjen negara ke Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 yang akan membuka tirai secara rasmi, esok.

Pada pertemuan itu, beliau menyatakan rasa bangga kerana Malaysia selaku juara bertahan merupakan kontinjen kedua terbesar ke temasya kali ini, terdiri daripada 27 pegawai dan 53 atlet yang akan mengambil bahagian dalam enam acara iaitu futsal, olahraga, badminton, tenpin boling, catur dan ping pong.

“Kita berharap dan sama-sama mendoakan kejayaan kontinjen kita, sekali gus mempertahankan gelaran juara yang telah kita raih pada edisi sulung di Kuala Lumpur, tiga tahun lepas.

“Saya percaya kontinjen kita akan berjuang dengan penuh disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi.  Lakukan yang terbaik, jagalah nama baik negara, dan buktikan bahawa Malaysia mampu sekali lagi berdiri megah sebagai juara,” katanya ketika berucap di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia malam ini. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Ong Shin Ruenn merakamkan penghargaan atas kesudian menerima kunjungan hormat kontinjen negara, serta sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada atlet.

Malaysia menyasarkan 16 pingat emas iaitu enam menerusi olahraga, tenpin boling (lima), badminton (dua), catur (dua) dan futsal (satu).

Sukan SEA Pekak 2025 berlangsung pada 20 hingga 26 Ogos di Jakarta.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan