KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Gas Malaysia Bhd (Gas Malaysia) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 merosot kepada RM99.12 juta daripada RM110.05 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Perolehan turut menyusut 9.2 peratus kepada RM1.80 bilion berbanding RM1.98 bilion sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gas Malaysia menyatakan bahawa perolehan lebih rendah itu disebabkan oleh purata harga jualan gas asli yang lebih rendah, susulan jumlah gas asli lebih tinggi yang dijual dan yuran tol yang lebih tinggi.
Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2025, keuntungan bersih syarikat merosot kepada RM199.25 juta daripada RM212.68 juta pada tempoh yang sama tahun lepas, manakala perolehan menyusut 5.5 peratus kepada RM3.64 bilion daripada RM3.85 bilion.
Menurut Gas Malaysia, syarikat itu pada 21 Ogos 2025 telah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak enam sen sesaham bagi 1,284,000,000 saham biasa.
Jumlah RM77.04 juta itu adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, yang akan dibayar pada 31 Okt, 2025.
Mengenai prospek, syarikat itu berkata ia akan terus melaksanakan langkah berhemat bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan daya saing dan memacu peluang pertumbuhan strategik.
“Dengan adanya inisiatif ini, lembaga pengarah yakin bahawa kumpulan ini berada dalam kedudukan yang baik untuk mencapai prestasi memuaskan bagi tahun kewangan 2025, sambil mengekalkan langkah berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran yang berterusan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial