AM

Isu Jalur Gemilang: Main Peranan Masing-masing, Elak Tindakan Luar Batas - Fahmi

22/08/2025 06:01 PM

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta orang ramai untuk memainkan peranan masing-masing secara konstruktif dan tidak bertindak di luar batasan sekiranya melihat atau mengesan mana-mana pemasangan Jalur Gemilang yang tidak betul.

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, berkata mereka sewajarnya mengambil inisiatif dengan membetulkan pemasangan bendera itu dan tidak bertindak di luar batas undang-undang.

“Jika kita melihat Jalur Gemilang yang mungkin secara cuai telah disalah naik, serahkan tindakan kepada pihak berkuasa... setidak-tidaknya, kita sebagai rakyat Malaysia wajar menyampaikan nasihat atau membetulkan keadaan itu melalui diri kita sendiri.

“Jangan kita ambil tindakan di luar batas undang-undang... marilah kita sama-sama meraikan Bulan Kebangsaan dengan penuh kebanggaan, selamat dan juga keamanan untuk semua,” katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Mengulas mengenai kemeriahan semangat Hari Kebangsaan, beliau berkata ia semakin rancak dan menyaksikan peningkatan daripada segi aktiviti pengibaran Jalur Gemilang.

“Saya lihat dalam algoritma TikTok dan beberapa media sosial, banyak juga yang saya perhatikan kandungan yang telah dihasilkan menunjukkan kreativiti rakyat untuk mempamerkan Jalur Gemilang,” katanya.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos manakala Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 Sept.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan