AM

Syarikat Tempatan Semarakkan Sambutan HKHM 2025 Dengan Sumbangan Tajaan

22/08/2025 08:58 PM

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 bukan sahaja dizahirkan oleh rakyat dengan kehadiran mereka bagi menyaksikan perarakan, tetapi turut diterjemahkan oleh syarikat tempatan yang tampil memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk penajaan.

Bagi Carsome, penyertaan sebagai penaja Platinum tahun ini bukan sahaja melibatkan perarakan tetapi turut menjadi simbol perjalanan satu dekad syarikat teknologi automotif itu.

Pengasas Bersama Carsome merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy Teoh Jiun Ee meluahkan rasa teruja kerana buat julung kalinya beliau bersama seorang lagi pengasas bersama, Eric Cheng, akan berarak bersama pasukan syarikat.

“Sejak bermula pada 2015, Carsome sudah 10 tahun bersama rakyat Malaysia. Kami bangga berada di sini, menyertai perarakan dan meraikan ulang tahun ini bersama negara. Tahun ini kami menawarkan baucar khas servis kereta bernilai RM100, baucar pembaharuan cukai jalan percuma serta baucar penggantian bateri bernilai RM50,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik HKHM 2025 di Menara Komunikasi di sini hari ini .

Menurut Teoh, baucar berjumlah lebih RM500,000 itu akan diagihkan kepada pengunjung oleh penganjur. 

Jenama ikonik Milo (penaja Emas) pula terus mengekalkan tradisi turun padang pada sambutan Hari Kebangsaan, sesuatu yang sudah sebati dengan rakyat Malaysia sejak puluhan tahun.

Penolong Pengurus Jenama Milo Malaysia Adrienna Chow berkongsi sejarah penglibatan Milo dalam perarakan Merdeka “lebih lama daripada usianya sendiri”.

“Tahun ini kami membawa 12 trak Milo seperti biasa, ditambah dua lagi trak bijirin sarapan Milo, menjadikan 14 semuanya.

“Kami mahu pastikan setiap barisan peserta dan penonton di sepanjang laluan dapat merasai kemeriahan. Milo dan Malaysia memang tidak boleh dipisahkan,” katanya sambil berkata bahawa sokongan itu akan diteruskan pada sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang, 16 Sept depan.

Turut menyerikan malam Ambang Merdeka ialah pertunjukan bunga api tajaan syarikat tempatan Explomag Sdn Bhd sebagai penaja Perak.

Pengarah dan Pakar Piroteknik syarikat itu Krishna Moorthy Thangiah, yang sudah lebih 26 tahun berkecimpung dalam industri persembahan bunga api berkata pengalaman membuat pertunjukan di luar negara termasuk Singapura tidak dapat menandingi kepuasan apabila berbakti untuk tanah air sendiri.

“Kali ini kami menaja hampir dua pertiga daripada kos keseluruhan pertunjukan lima minit yang lazimnya bernilai RM120,000 hingga RM250,000.

“Ia satu penghormatan buat kami kerana sambutan kali ini diadakan dengan lebih meriah selepas beberapa tahun terjejas akibat pandemik. Saya berbangga dapat menghadiahkan persembahan ini kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan HKHM 2025 telah berjaya meraih penajaan melebihi RM22 juta daripada 113 rakan strategik, meliputi RM1.9 juta dalam bentuk wang tunai dan RM20.24 juta lagi dalam bentuk barangan serta perkhidmatan.

Perarakan gilang-gemilang di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini dijangka menjadi simbol kebersamaan seluruh lapisan masyarakat, bukan sahaja meraikan ulang tahun kemerdekaan negara tetapi juga mengangkat sumbangan syarikat tempatan yang bangga bergelar sebahagian daripada Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan