KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan negeri untuk tidak mengabaikan kepentingan peniaga kecil khususnya penjaja Melayu.
Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri agar mencontohi pendekatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam usaha membangunkan semula pusat perniagaan untuk peniaga kecil dan penjaja Melayu.
“Sebab itu, saya gesa kerajaan tempatan dan kerajaan negeri agar mengambil contoh apa yang kita mula lakukan di Kuala Lumpur... jangan abaikan kepentingan peniaga kecil, penjaja Melayu terutama di kota-kota kita.
“... saya harap gesaan ini didengar oleh pimpinan negeri dan PBT. Kita nak nilai hebat Kuantan, Temerloh, Kota Bharu atau Alor Setar bukan (daripada aspek) gedung-gedung baharu sahaja tetapi bagaimana kerajaan negeri, PBT lakukan dan tingkatkan kemudahan asas, bersih, indah, gerai, warung, pusat penjaja dan peniaga kecil yang baik,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Jubli Emas Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) di sini malam ini.
Anwar berkata di Kuala Lumpur, beliau telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membangunkan semula antara 60 hingga 70 gerai selain menyediakan sebuah medan selera yang lebih selesa untuk dimanfaatkan oleh peniaga dan penjaja kecil Melayu.
Beliau berkata walaupun sering dianggap kecil, sumbangan peniaga Melayu kepada masyarakat termasuk warga kota amat besar memandangkan 80 peratus rakyat memilih untuk berbelanja di gerai kecil.
Justeru itu, Perdana Menteri berkata adalah tidak munasabah sekiranya kerajaan mengetepikan peniaga dan penjaja kecil dalam merangka dasar pembangunan negara.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada GPPPKMM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial