AM

BeST 2.0 Akan Diperluas Ke Subsektor AI, AR/VR Dan Teknologi Hijau

22/08/2025 11:18 PM

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Program Kerjaya dan Keusahawanan Bioagrotek dan Biofarmaseutikal 2.0 (BeST 2.0) akan diperluas kepada subsektor bioteknologi baharu melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), realiti terimbuh dan realiti maya (AR/VR) serta teknologi tenaga hijau, bagi memastikan modul latihan yang ditawarkan terus seiring dengan keperluan industri.

Pengerusi Bioeconomy Corporation Datuk Dr Lee Boon Chye berkata peluasan itu akan dilaksanakan seiring dengan usaha memperkukuh pangkalan data siswazah dan trend industri bagi penambahbaikan modul latihan yang lebih berfokus.

“Dengan peluasan subsektor ini, siswazah BeST 2.0 bukan sahaja relevan kepada industri bioteknologi dan berasaskan bio masa kini, malah bersedia untuk menghadapi permintaan teknologi baharu yang bakal memacu bioekonomi negara pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Apresiasi Peserta dan Pemain Industri BeST 2.0 di sini hari ini.

Sejak dilancarkan pada 2021, BeST 2.0 yang diterajui Bioeconomy Corporation di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melatih 561 siswazah, melepasi sasaran asal 400 siswazah dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). 

Daripada jumlah itu, 91 peratus berjaya mendapat penempatan kerja di 92 syarikat bioteknologi dan berasaskan bio, manakala lebih 200 syarikat mendaftar sebagai syarikat hos dengan menawarkan 1,900 peluang pekerjaan.

Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang yang berkata pencapaian itu membuktikan BeST 2.0 berperanan besar dalam membangunkan ekosistem bakat sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.

“Kejayaan BeST 2.0 membuktikan bahawa kita mampu melahirkan tenaga kerja STI yang memenuhi keperluan industri serta menjadi pemacu kepada pembangunan bioteknologi dan bioekonomi negara. Sejak pengenalan BeST 1.0 pada 2007, lebih 3,000 siswazah telah mengikuti program ini,” katanya.

Selain melatih tenaga kerja, BeST 2.0 turut melahirkan usahawan baharu dengan 19 siswazah memilih laluan keusahawanan melalui Bioentrepreneurship Graduate Accelerator (BioeGAP). 

Sementara itu, Lee berkata bagi tahun ini, 80 siswazah disasarkan menjalani latihan dengan penempatan industri, dengan 91 individu telah menyertai program bersama 37 syarikat hos setakat ini, termasuk sembilan siswazah yang memilih laluan keusahawanan melalui sokongan perjanjian pembelian balik bersama syarikat hos.

Beliau berkata portal Biokerjaya yang dilancarkan pada 2023 juga akan diperkasakan sebagai platform utama padanan pekerjaan, selain memperkukuh kerjasama dengan industri, universiti dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

Program pentauliahan mikro turut akan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan semasa industri.

Bioeconomy Corp merupakan agensi pembangunan ekonomi utama bagi industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia.  Ditubuhkan pada 2005, ia berada di bawah bidang kuasa MOSTI dan merupakan syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan