AM

PDRM Pantau Pergerakan Ejen Asing, Kerajaan Tidak Kompromi Soal Keselamatan - Fahmi

24/08/2025 01:31 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan negara berikutan pengesanan peningkatan aktiviti ejen asing di negara ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata pergerakan ejen-ejen tersebut sedang dipantau secara berterusan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi menjamin keselamatan negara.

Beliau berkata Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail baru-baru ini mengesahkan peningkatan pergerakan ejen asing, berikutan kelantangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan dalam memperjuangkan isu Palestin.

“Tidak dinafikan sejak pendirian kerajaan dan Perdana Menteri yang begitu lantang dalam isu Gaza dan Palestin, beliau merupakan antara pemimpin di rantau Asia Tenggara yang paling dipantau oleh elemen-elemen berkenaan.

“Aspek keselamatan tidak ada kompromi dan PDRM sentiasa melakukan pemantauan. Kami juga diberi taklimat dari semasa ke semasa termasuk melalui Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara,” katanya selepas merasmikan Pameran Inovasi Realiti Maya (VR) Kemanusiaan Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Fahmi berkata walaupun keadaan keselamatan masih terkawal, sebarang risiko ancaman tidak boleh dipandang ringan, memandangkan pendirian Malaysia dalam isu Palestin ialah berasaskan prinsip kemanusiaan dan bukannya emosi semata-mata.

Beliau berkata pendirian Malaysia kekal konsisten sejak sekian lama iaitu menuntut peperangan dan kekejaman rejim Zionis di Gaza dihentikan, selain mengiktiraf kebebasan negara Palestin.

“Cuma bezanya sekarang, Perdana Menteri kita berjaya mengubah pendirian beberapa pemimpin negara lain yang memberi kesan sangat positif. Contohnya bekas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte, telah mengubah pendirian mereka selepas bertemu Perdana Menteri kita.

“Kerajaan Jepun masih berpegang pada pendirian untuk bekerjasama dengan Malaysia dan negara-negara lain bagi membangunkan semula Gaza. Mereka benar-benar ingin mengadakan perbincangan segera mengenai perkara ini dan tidak berlaku sebarang perubahan dalam pendirian,” katanya.

Mengenai VR Gaza Time Tunnel yang dibangunkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Fahmi berkata ia berjaya memberikan pengalaman mendalam kepada pengunjung mengenai  perjalanan di bumi Palestin, termasuk konflik yang sedang berlaku di Gaza.

“Saya amat terkesan, kerana mereka bukan sahaja berjaya melakarkan geografi dan seni bina bangunan-bangunan, malah turut menampilkan insiden-insiden tertentu seperti serangan helikopter Apache, serangan kereta kebal serta insiden terkini yang amat menyayat hati.

“Inilah sebabnya kita terus memberi sokongan padu dan menggesa agar Palestin merdeka tanpa syarat. Ini merupakan pendirian berprinsip kerajaan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan