TAWAU, 24 Ogos (Bernama) -- Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) membantu komuniti setempat dan usahawan di Sabah mengenal pasti ruang inovasi yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti produk.
Komitmen YIM, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu diterjemahkan melalui Program Jejak Inovasi Sosial yang turut melibatkan lokasi terpilih di Merotai di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata lawatan bersama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal bertujuan meninjau potensi produk dan cabaran dihadapi usahawan.
“Kita melihat semua aspek termasuk bagaimana inovasi boleh membantu pemprosesan seperti mempercepat kerja atau meningkatkan penghasilan produk dan memberi manfaat kepada mereka.
“Kita juga mengumpul data berkaitan dan akan menyalurkan maklumat diperoleh kepada pihak berkaitan supaya mendapat perhatian sepatutnya jika melibatkan agensi lain,” katanya kepada Bernama.
Antara lokasi Program Jejak Inovasi Sosial di Merotai ialah tapak ternakan sarang burung walit, kilang keropok amplang, sistem irigasi IoT tanaman halia dan sistem janakuasa air.
Pengusaha sarang burung walit di Kampung Tanah Merah Laut, Merotai Besar Syamsul Kurus, 41, berharap mendapat bantuan bagi membantu ternakan sarang burung walit spesis putih yang dimulakan sejak 2021.
“Ketika ini, kami memiliki lima sarang burung walit dan hasil dituai setiap dua atau tiga bulan sekali, dengan tuaian antara 500 gram ke 1.3 kilogram yang dijual kepada kedai atau orang persendirian.
“Antara bantuan diperlukan termasuk khidmat nasihat untuk menambah penghasilan sarang burung dan bimbingan mewujudkan produk hiliran,” katanya.
Pengusaha keropok amplang Merotai Kasmah Basiran, 68, berkata memerlukan bantuan kelengkapan seperti mesin pengadun dan penggoreng bagi meningkatkan pengeluaran ekoran permintaan semakin tinggi.
“Saya mengusahakan produk ini sejak 2000 dan permintaan meningkat terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan. Kami beroperasi 24 hari sebulan dan penghasilan keropok dibuat secara manual melibatkan 14 pekerja,” katanya.
Kasmah berkata terdapat lima perisa keropok iaitu ikan, sotong, udang, ayam dan keju yang dipasarkan ke seluruh negara dan Brunei.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial