KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Forum Tenaga Perniagaan ASEAN 2025 (AEBF 2025) yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 17 Okt ini memainkan peranan penting dalam menyokong agenda integrasi tenaga serantau, pembiayaan lestari serta peralihan tenaga adil dan inklusif, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia selaku peneraju pelaburan tenaga bersih di rantau ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata AEBF 2025 dijangka menghimpunkan 1,500 delegasi terdiri daripada pihak berkepentingan dan pihak berkaitan industri tenaga rantau ASEAN serta rakan dialog antarabangsa untuk membincangkan perkara berkaitan pembangunan sektor tenaga secara holistik.
"Malaysia akan memanfaatkan forum ini untuk mengetengahkan peluang pelaburan dalam tenaga boleh baharu (TBB), teknologi rendah karbon, grid pintar serta penyimpanan tenaga," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai strategi kementerian bagi menjadikan AEBF 2025 sebagai medan utama menarik pelaburan hijau berimpak tinggi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga bersih serantau.
Dalam usaha negara memacu peralihan tenaga di rantau Asia Tenggara, Akmal Nasrullah berkata Malaysia sebagai hos berpandangan AEBF 2025 adalah platform terbaik ke arah mempercepat usaha mewujudkan Grid Tenaga ASEAN, meningkatkan daya tahan tenaga, keterjaminan bekalan elektrik serta menggalakkan TBB bersepadu di rantau ini.
Selain itu, AEBF 2025 menjadi landasan kukuh untuk Malaysia memacu agenda peralihan tenaga pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada 26 hingga 28 Okt di sini, sekali gus menyokong usaha negara ASEAN dalam menjadi hab elektrik hijau serta aspirasi Malaysia mencapai sasaran kapasiti TBB sebanyak 70 peratus menjelang 2050.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata Malaysia mempunyai kepelbagaian sumber tenaga yang menjadi kelebihan untuk negara menarik minat pelaburan terhadap industri TBB.
"Apabila kita lancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), ia membuka ruang untuk Malaysia menarik pelaburan yang memerlukan TBB dan hasilnya hari ini banyak pengumuman yang dibuat oleh kerajaan menunjukkan pelaburan masuk kerana minat mereka dengan usaha kita ke arah TBB," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai kelebihan Malaysia berbanding negara ASEAN lain dalam menarik minat pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap industri tenaga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial