EKONOMI

Affin, CGC Meterai MoU Bagi Sedia Pembiayaan RM500 Juta Kepada PKS, Syarikat Pertengahan

25/08/2025 10:25 PM

KUCHING, 25 Ogos (Bernama) -- Kumpulan Affin dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC Malaysia) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyediakan pembiayaan sebanyak RM500 juta untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat peringkat pertengahan (MTC) di seluruh Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, MoU itu menandakan satu pencapaian penting dalam komitmen bersama kedua-dua syarikat untuk memperluaskan akses pembiayaan kepada PMKS dan MTC di seluruh negara.

Katanya, berteraskan prinsip keterangkuman kewangan dan pertumbuhan perniagaan yang mampan, kerjasama ini menyasarkan sehingga RM500 juta dalam bentuk sokongan pembiayaan.

"Ia bertujuan untuk menangani jurang pembiayaan kritikal yang dihadapi oleh perusahaan-perusahaan berkenaan sambil mengukuhkan keupayaan mereka untuk berkembang, berinovasi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Di bawah MoU ini, Affin dan CGC akan melancarkan pelbagai penyelesaian pembiayaan yang lebih meluas termasuk kemudahan yang disokong jaminan bagi perusahaan yang kukuh, pembiayaan yang disesuaikan untuk syarikat pemula dan perniagaan peringkat awal serta produk kredit terangkum seperti penyelesaian modal kerja bagi menambah baik aliran tunai,” kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan bersama itu lagi, kerjasama tersebut juga seiring dengan keutamaan negara dengan memudahkan pembiayaan mampan untuk menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

Jelasnya, inisiatif tersebut turut memberi tumpuan kepada peningkatan akses bagi segmen perniagaan yang kurang mendapat perhatian dan kurang mendapat perkhidmatan perbankan sekali gus memastikan keterangkuman dalam landskap keusahawanan.

Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Affin Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk memperjuangkan keterangkuman kewangan dan pertumbuhan mampan sambil menyumbang kepada pembangunan negara.

“Dengan menggabungkan kekuatan kami, kami bukan sahaja memperluaskan akses kepada pembiayaan, malah membekalkan PMKS dan MTC dengan penyelesaian inovatif yang membolehkan mereka berkembang, bersaing dan terus maju.

"MoU ini mencerminkan komitmen kami untuk memperkasa tulang belakang ekonomi Malaysia dengan peluang yang mencipta nilai jangka panjang untuk perniagaan, komuniti dan negara,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, ketika bercakap pada sidang media, Wan Razly berkata peruntukan sebanyak RM500 juta itu merupakan permulaan untuk menyokong sektor PMKS Malaysia yang sedang berkembang pesat dengan ruang untuk pengembangan sekiranya terdapat permintaan.

“Kami tidak mahu menetapkan angka semata-mata kerana ia kelihatan baik di atas kertas. Apa yang penting, ia boleh dicapai.

"Peruntukan itu boleh ditingkatkan sekiranya terdapat permintaan yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata, walaupun program ini dirangka sebagai inisiatif selama lima tahun, namun terdapat keyakinan ia boleh disalurkan sepenuhnya dalam tempoh hanya tiga tahun.

Dalam pada itu, Presiden dan CEO Kumpulan CGC Malaysia Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak menekankan kepentingan memperluaskan akses pembiayaan di seluruh negara dengan penekanan khusus kepada Sarawak dan Sabah.

“Walaupun mandat kami bersifat nasional, pemeteraian perjanjian ini di Kuching yang mencerminkan potensi besar dan dilihat di Sarawak dan Sabah apabila kami komited untuk memperluaskan akses pembiayaan serta mengukuhkan kelestarian dan daya tahan perusahaan tempatan,” katanya.

MoU tersebut ditandatangani Wan Razly; CEO Affin Islamic Bank Bhd, Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin dan Mohd Zamree serta disaksikan Setiausaha Kewangan Sarawak, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan