AM

RUU Pekerja Gig 2025 Sedia Hala Tuju Adil Untuk Semua Pihak - NSI

25/08/2025 11:18 PM

GEORGE TOWN, 25 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini menawarkan kerangka seimbang serta berpandangan jauh yang memberi manfaat kepada pekerja dan pengendali platform, menurut North South Initiative (NSI).

Dalam kenyataan, pertubuhan hak pekerja itu berkata selepas meneliti prinsip RUU Pekerja Gig serta membandingkannya dengan undang-undang dan amalan buruh lain, pihaknya berpandangan cadangan tersebut menyediakan hala tuju yang adil untuk semua pihak terbabit.

“RUU ini merangkumi empat tonggak Agenda Pekerjaan Wajar Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu hak untuk bekerja, hak di tempat kerja, menggalakkan dialog sosial serta peluasan perlindungan sosial.

“Ia menyediakan mekanisme yang menyeimbangkan perlindungan pekerja dan penyedia platform, pengagihan keuntungan secara adil, dialog sosial serta penyelesaian pertikaian yang telus dan berkesan,” menurut kenyataan itu.

Dalam jangka panjang, NSI menjelaskan langkah berkenaan mampu mengurangkan kos operasi pengendali platform kerana RUU tersebut menjamin keharmonian industri antara semua pihak.

NSI berkata memandangkan ekonomi gig bersifat dinamik, RUU tersebut akan memperkasa dialog sosial melalui penubuhan majlis perundingan yang berperanan memantau isu semasa serta mencadangkan penambahbaikan dan pindaan dari semasa ke semasa.

Pertubuhan itu turut mempertahankan proses merangka RUU berkenaan dengan menegaskan bahawa sejak tahun lalu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah menganjurkan siri jelajah dan sesi libat urus bersama ribuan pekerja gig serta pelbagai pengendali platform.

“Berdasarkan pengalaman NSI dalam advokasi dasar sejak 15 tahun lalu, kami boleh mengesahkan bahawa belum pernah ada undang-undang di Malaysia yang dibentangkan dengan tahap ketelusan dan penglibatan menyeluruh seperti RUU ini.

“Sebarang dakwaan kononnya libat urus tidak mencukupi adalah tidak benar serta berniat jahat,” katanya.

Terdahulu, RUU Pekerja Gig 2025 yang bertujuan melindungi kebajikan 1.2 juta pekerja gig di negara ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim, ketika membentangkan RUU itu, berkata bacaan kedua dan ketiga dijadualkan pada sidang Parlimen kali ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan