SIBU, 26 Ogos (Bernama) -- Komunikasi yang tepat dan laporan yang bertanggungjawab amat penting terutamanya apabila menyentuh isu-isu melibatkan kepentingan awam.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata wartawan memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat dan perlu mengekalkan profesionalisme dalam menyampaikan berita.
"Apabila soalan diajukan, khususnya oleh media, saya memilih berterus terang. Jika saya tidak mempunyai fakta, saya tidak akan memberi jawapan. Sebaik sahaja kenyataan dilaporkan, ia sudah dalam domain awam dan tidak boleh dipadam daripada Internet atau media sosial. Ketepatan adalah amat penting," katanya ketika berucap pada Malam Apresiasi Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka di sini malam tadi.
Annuar berkata beliau juga lebih suka membataskan komen dalam bidang tanggungjawabnya seperti pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat serta mengelak membuat kenyataan politik atau isu di luar portfolionya.
"Terdapat isu-isu sensitif termasuk yang berkaitan dengan politik atau parti komponen, yang lebih baik dikendalikan dengan berhati-hati," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.
Beliau berkata pengajaran semasa penularan pandemik COVID-19 menekankan keperluan untuk memberi maklumat yang tepat dan terkini kepada orang ramai.
"Semasa krisis, komunikasi amat penting. Terdapat banyak khabar angin dan maklumat tidak tepat. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk bersiaran langsung hampir setiap hari bagi menjelaskan keadaan dan memberi jaminan kepada rakyat," katanya.
Mengenai kebajikan wartawan, Annuar menggesa pengamal media agar menitikberatkan aspek kesihatan, sambil mengumumkan rancangan untuk menaja pakej saringan kesihatan bagi ahli Persatuan Wartawan Sibu (SJA).
"Kesihatan sangat penting, terutamanya bagi mereka yang berumur lebih 35 tahun. Saya akan berbincang dengan pusat perubatan untuk mengatur pakej pemeriksaan kolesterol, buah pinggang dan hati. Dana akan disediakan," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan media selama ini dengan berkata komitmen mereka telah membantu menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat, khususnya dalam waktu-waktu mencabar.
"Walaupun hanya terdapat kira-kira 40 ahli SJA yang berdaftar, anda adalah suara yang berpengaruh. Profesionalisme anda memastikan berita disampaikan dengan bertanggungjawab, sekali gus mengelakkan kekeliruan dan perpecahan," katanya.
Annuar mengucapkan terima kasih kepada semua wartawan atas kerjasama dan liputan sepanjang tempoh perkhidmatannya dan berikrar untuk meneruskan kerjasama bagi memperkukuh kepercayaan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial