AM

Kerja Baik Pulih SK Seri Perlis Bernilai RM370,000 Dimulakan Segera – Menteri Pendidikan

26/08/2025 03:03 PM

KANGAR, 26 Ogos (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan kerja baik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis yang mengalami kerosakan akibat ribut petang semalam akan dimulakan segera dengan kos berjumlah RM370,000 demi manfaat murid, guru dan seluruh warga sekolah itu.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau memaklumkan telah menerima laporan berhubung kerosakan pada bahagian bumbung beberapa bangunan yang menempatkan bilik darjah, kemudahan lain serta sistem pendawaian elektrik.

“Kerja pembersihan sedang dijalankan dan dijangka selesai selewat-lewatnya esok, bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan seramai 207 murid sekolah berkenaan terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sementara waktu selepas sebahagian bumbung diterbangkan angin dalam kejadian ribut kira-kira 5.20 petang.

Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata antara yang terjejas ialah kelas Tahun Satu (dua kelas, 70 murid), Tahun Dua (dua kelas, 74 murid), Prasekolah (satu kelas, 25 murid) serta lima kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) membabitkan 38 murid.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta turut rosak selepas ditimpa bumbung sekolah yang tercabut, menurut Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan