PETALING JAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Teka-teki mengenai status Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terjawab selepas beliau sah melepaskan jawatan kerusi nombor satu badan induk itu.
FAM dalam kenyataan hari ini mengesahkan Mohd Joehari telah menyatakan hasrat berkenaan menerusi surat peletakan jawatan yang dihantar baru-baru ini.
Justeru, Jawatankuasa Eksekutif FAM dipanggil untuk mesyuarat khas kedua penggal 2025-2029 di Wisma FAM Kelana Jaya, hari ini, dipengerusikan Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi, bagi membincangkan perkara tersebut.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM meneliti hasrat Datuk Joehari dalam mesyuarat berkenaan dan akhirnya akur untuk menerima peletakan jawatan Presiden FAM bagi menghormati keputusan beliau.
“Jawatankuasa Eksekutif FAM berasa terharu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Datuk Joehari atas segala sumbangan, jasa, dedikasi dan komitmen beliau sepanjang bersama FAM sejak dipilih sebagai Naib Presiden pada 2017 dan seterusnya Presiden pada 15 Feb 2025,” menurut kenyataan itu.
FAM pada masa sama mendoakan agar Mohd Joehari sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara.
Sebelum ini, Mohd Joehari memegang jawatan Naib Presiden dan merupakan Presiden FAM kelapan serta individu pertama dari Sabah yang menerajui badan induk bola sepak negara itu, menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Mohd Joehari dilantik menggantikan Hamidin selepas menang tanpa bertanding pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025–2029, Februari lalu.
Dalam pada itu, FAM memaklumkan bahawa Jawatankuasa Eksekutif mereka telah bersetuju menamakan Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan peruntukan dalam Statut FAM.
“Menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan Presiden kosong, Timbalan Presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga Kongres seterusnya iaitu tahun hadapan.
“Kongres tersebut akan memilih Presiden baharu untuk baki tempoh penggal jawatan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, usaha pihak media untuk mendapatkan reaksi daripada ahli Jawatankuasa FAM mengenai peletakan jawatan Mohd Joehari tidak membuahkan hasil.
Selain itu, media yang menunggu sejak pukul 9 pagi tidak dibenarkan memasuki Wisma FAM bagi membuat liputan mesyuarat khas tersebut.
Walaupun beberapa kenderaan dipercayai dinaiki ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dilihat masuk, tiada seorang pun yang berhenti untuk memberikan sebarang kenyataan kepada pihak media.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial