ALOR SETAR, 27 Ogos (Bernama) -- Bagi menzahirkan semangat cintakan tanah air, seorang anggota tentera menggunakan bahan terbuang untuk menghiasi kediaman keluarganya di Taman Kita, Mergong dekat sini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada tahun ini.
Sarjan Mejar Abdul Latif Jalaluddin, 39, yang bertugas di sebuah kem di sini berkata dia menggunakan pelbagai bahan buangan antaranya kotak, paip polivinil klorida (PVC), buluh dan botol minuman untuk mencipta replika kereta kebal, alat penyumpit serta hiasan bermotifkan Jalur Gemilang.
“Sebenarnya hiasan ini dibuat sempena pertandingan yang dianjurkan oleh Komuniti Taman Kita, Mergong bersempena Hari Kebangsaan. Pada awalnya, saya rancang buat secara santai sahaja tetapi akhirnya mendapat idea untuk menggunakan barangan terpakai.
“Jadi, kami sekeluarga siapkan semuanya bersama-sama termasuk mengutip kotak untuk dijadikan kereta kebal, paip PVC untuk alat penyumpit dan peralatan lain yang kebanyakan sedia ada di sekitar rumah kecuali Jalur Gemilang yang dibeli sendiri,” katanya ketika ditemui di Taman Kita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Latif berkata dia turut menjadikan sudut rumah mereka seperti muzium mini yang menempatkan patung anggota tentera, replika senjata serta gambar ahli keluarganya termasuk arwah bapa mentua yang juga seorang perwira negara.
“Inisiatif ini bukan sahaja untuk menjadikan kawasan kediaman kelihatan meriah tetapi ia juga dapat menyampaikan mesej mengenai kepentingan memelihara alam sekitar melalui konsep guna semula,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Muslimat Taman Kita Norhayati Sharif, 64, berkata pertandingan menghias di taman perumahan itu adalah idea pihaknya untuk menyemarakkan Hari Kebangsaan dalam kalangan warga penduduk.
“Program ini kali pertama diadakan dan kami turut menawarkan hadiah wang tunai kepada peserta, sambutan memang menggalakkan dan mungkin kami akan adakan lagi pada tahun depan. Walaupun pertandingan ini untuk hiasan rumah tetapi kami terapkan semangat kemerdekaan supaya generasi muda tidak lupa,” katanya.
Bagi Sharifah Rohani Syed Othman, 61, dia menyuarakan perasan teruja kerana selain menyertai pertandingan berkenaan, dia juga akan menyambut ulang tahun kelahiran sebagai anak merdeka.
“Setiap tahun memang saya seronok apabila tiba Hari Kebangsaan kerana selain memperingati perjuangan datuk nenek kita dahulu, ia juga hari istimewa buat saya yang dilahirkan pada 31 Ogos 1964,” katanya
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial