AM

Kawasan Bangkai Kapal Labuan Terus Jadi Tumpuan Aktiviti Menyelam

27/08/2025 06:36 PM

LABUAN, 27 Ogos (Bernama) -- Bangkai kapal di perairan Labuan yang menawarkan warisan sejarah maritim dan keajaiban biodiversiti marin terus menggamit kehadiran peminat aktiviti menyelam. 

Presiden Kelab Menyelam Labuan Teoh Ming Woei berkata empat bangkai kapal iaitu Australian Wreck, American Wreck, Cement Wreck dan Blue Water Wreck telah diiktiraf sebagai zon dilindungi sejak 2011 oleh Jabatan Warisan Negara dan berperanan sebagai tarikan dasar laut ikonik serta habitat penting untuk lebih 160 spesies marin termasuk terumbu karang, penyu laut, jerung karang, ikan pari dan barakuda.

"Labuan telah lama dikenali dengan warisan sejarah di perairannya dan bangkai-bangkai kapal ini kekal sebagai antara kawasan menyelam paling unik di rantau ini.

"Penyelam berpeluang menerokai peninggalan sejarah ini secara dekat, sambil turut menghargai kepentingannya dalam pemuliharaan. 

"Rekod sejarah menunjukkan empat kapal itu karam semasa Perang Dunia II (WWII),” katanya kepada Bernama hari ini

Woei berkata penyelam bukan sahaja menerokai hidupan marin tetapi juga peninggalan kapal zaman perang sekali gus mencipta pengalaman yang mengujakan selain menimba pengetahuan.

“Festival Menyelam Labuan 3.0, yang diadakan dari 21 hingga 30 Jun lepas anjuran Kelab Menyelam Labuan dengan kerjasama Labuan Rusukan Besar Resort, menonjolkan khazanah di laut ini kepada penyelam tempatan dan antarabangsa.

“Festival sepuluh hari itu menarik lebih 50 peserta dari Malaysia, Hong Kong, China, Afrika Selatan dan negara lain, ada yang memperoleh pensijilan Snorkel Diver ketika meneroka empat bangkai kapal itu.

Beliau berkata sorotan utama ialah sesi oleh penyelam Randy Davis yang telah mengkaji bangkai kapal Labuan sejak 1980-an.

Davis menurutnya telah berkongsi dokumentasi dan pengetahuannya mengenai sejarah maritim berkaitan bangkai kapal berkenaan.

Wakil Jabatan Warisan Negara yang mengambil bahagian dalam festival itu juga menekankan kepentingan pemeliharaan warisan yang bertanggungjawab, menggalakkan penyelam untuk menjadikan setiap selaman sebagai perjalanan menelusuri sejarah.

Woei berkata selain penerokaan bangkai kapal, peserta juga menikmati keindahan Labuan dengan menginap di Labuan Rusukan Besar Resort dan melawat Pulau Kuraman, lokasi terletaknya tetanjung pasir terpanjang di Malaysia. 

“Festival itu juga membawa peserta melawat laluan bercorak khas semula jadi di pulau ini iaitu satu keajaiban geologi yang hanya ditemui di beberapa lokasi di seluruh dunia. 

“Acara berkenaan menandakan satu lagi kejayaan dalam meletakkan Labuan sebagai destinasi menyelam wajib dikunjungi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan