KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd, New Pantai Expressway Sdn Bhd memeterai perjanjian konsesi tambahan (SCA) dengan kerajaan bagi melaksanakan projek lanjutan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) sepanjang 15 kilometer.
IJM dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan juga meluluskan cadangan pihaknya iaitu menyusun semula kadar tol NPE yang merupakan satu langkah dijangka menjimatkan kira-kira RM191 juta dalam pembayaran pampasan.
“Bermula dari Plaza Tol Pantai Dalam dan memanjang ke Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra, lanjutan ini akan menyediakan laluan yang lebih lancar serta pantas ke pusat bandar.
“Dengan menghubungkan secara langsung ke Persimpangan Jalan Istana, lanjutan NPE ini menghubungkan tiga lebuh raya utama iaitu NPE, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Laluan Istana-Kiara (LIKE) yang akan datang,” kata konglomerat itu.
Integrasi ini menyokong Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 yang mengutamakan sambungan lebuh raya ke lebuh raya bagi mengalihkan lalu lintas dari pusat bandar.
“Direka untuk memenuhi permintaan trafik masa depan, projek ini menangani titik kesesakan utama di Lembah Klang dengan menyediakan laluan alternatif yang dijangka dapat mengalihkan sehingga 40 peratus kenderaan dari Jalan Bangsar ke arah pusat bandar.
"Ia berpotensi mengurangkan masa perjalanan sehingga 25 minit dari Pantai Dalam ke pusat Kuala Lumpur,” kata IJM.
Perjanjian tersebut ditandatangani di ibu pejabat Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Azman Ibrahim yang mewakili kerajaan dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengarah Urusan Kumpulan IJM, Datuk Lee Chun Fai yang mewakili NPE.
Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan pihak berkepentingan utama.
Sementara itu, Nanta berkata lanjutan NPE akan memajukan usaha untuk meningkatkan mobiliti seta mengurangkan kesesakan di seluruh Lembah Klang.
“Dilaksanakan di bawah model kerjasama awam–swasta tanpa sokongan kewangan daripada kerajaan, ia menunjukkan kekuatan penglibatan sektor swasta dalam menyampaikan infrastruktur utama,” katanya.
Sementara itu, Lee berkata pemeteraian SCA menandakan langkah penting dalam usaha berterusan untuk meningkatkan kesalinghubungan di seluruh Lembah Klang.
“Lanjutan ini akan mengurangkan kesesakan, memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan akses ke pusat bandar sambil menyokong mobiliti harian bagi penduduk serta perniagaan selaras dengan pengangkutan awam,” katanya.
Pembinaan lanjutan NPE yang bertingkat dijadualkan bermula pada suku keempat 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 48 bulan.
“IJM memperoleh kelulusan daripada dua institusi kewangan bagi menyediakan pembiayaan projek sehingga RM1.4 bilion sekali gus mengukuhkan kesediaan kumpulan untuk memulakan kerja mengikut jadual.
“Kumpulan akan terus bekerjasama rapat dengan KKR dan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan lanjutan lebuh raya ini serta mengekalkan hubungan terbuka dengan pihak berkepentingan sepanjang tempoh pelaksanaan projek,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial