KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Perancangan projek pembangunan infrastruktur kerajaan Persekutuan dan pencapaian pembinaan rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) antara yang akan dibincangkan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri meminta penjelasan Perdana Menteri mengenai adakah benar perancangan projek pembangunan infrastruktur kerajaan Persekutuan hanya tertumpu kepada negeri tertentu dan meminggirkan sebahagian yang lain.
Selain itu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) juga mengajukan pertanyaan kepada Perdana Menteri mengenai bilangan terkini rumah mampu milik yang berjaya dibina di bawah RMK12 dan peratusan pencapaian setakat ini.
Pada sesi soal jawab lisan, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mahu Menteri Kewangan menyatakan bagaimana kerajaan Persekutuan berusaha mengatasi ketirisan yang berlaku daripada kontrak-kontrak kerajaan dengan melibatkan kerugian dana awam bernilai berbilion ringgit.
Selain itu, Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) bertanyakan kepada Menteri Pengangkutan mengenai manfaat ekonomi yang diperoleh negeri-negeri sempadan seperti Perlis, Kedah dan Kelantan daripada pergerakan harian kenderaan perdagangan serta kargo rentas sempadan Malaysia-Thailand.
Sesi soal jawab lisan juga akan mendengar pertanyaan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan pendirian dalam isu Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya mencampuri autonomi mahasiswa dengan melantik pegawai penasihat badan pelajar dan keperluan mendapatkan kelulusan HEP bagi penganjuran aktiviti.
Sementara itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) meminta Menteri Kewangan menyatakan hasil kajian impak terhadap dasar semakan semula dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pelbagai cukai baharu termasuk cukai digital ke atas golongan berpendapatan rendah.
Beliau juga ingin mengetahui apakah mekanisme perlindungan untuk isi rumah B40 dan M40 di kawasan luar bandar.
Turut menjadi tumpuan hari ini ialah bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dan RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 selain sesi penggulungan oleh Menteri Kewangan bagi RUU Perolehan Kerajaan 2025 yang telah dibahaskan oleh 20 Ahli Parlimen semalam.
Mesyuarat Dewan Rakyat kali ini yang bersidang selama 24 hari bermula 21 Julai lepas akan melabuhkan tirai hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial