AM

MyIPO Tawar Pakej Pengurangan Fi Cap Dagangan Sempena HKHM 2025

28/08/2025 02:10 PM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui agensinya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan Pakej Pengurangan Fi Cap Dagangan bersempena sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025).

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata kempen bertemakan 'Lindungi Jenama Lokal, Tembusi Pasaran Global', itu dilaksanakan selama empat bulan bermula 1 Sept hingga 31 Dis 2025.

Beliau berkata menerusi pakej tersebut, fi cap dagangan dikurangkan sebanyak RM300, menjadikan bayaran hanya RM650 berbanding kadar asal RM950 bagi setiap permohonan individu atau entiti perniagaan termasuk persatuan dan pertubuhan.

"Setiap permohonan bagi jenama atau logo perniagaan yang diluluskan pendaftarannya pula akan dilindungi selama 10 tahun di bawah undang-undang harta intelek.

"Objektif inisiatif ini adalah untuk menggalakkan pendaftaran harta intelek sekali gus meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan jenama tempatan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sambutan HKHM 2025, peringkat kementerian di sini hari ini.

Armizan berkata data SME Corp menunjukkan sebanyak 96.1 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan di Malaysia adalah PMKS dan lebih 70 peratus daripadanya merupakan perusahaan mikro.

Selain agensi MyIPO, beliau berkata rakan strategik KPDN turut membuat tawaran istimewa kepada rakyat bersempena HKHM 2025. 

"Semalam, Shopee telah melancarkan 'Kempen Shopee Payung RM100' bermula 31 Ogos hingga 16 Sept. Melalui kempen ini pelanggan boleh mendapatkan baucer Shopee bernilai RM100 dengan pembelian hanya RM1 untuk digunakan bagi membeli barangan dalam platform seperti ShopeeFood, Shopee Live dan ShopeePay.

“Shopee memperuntukkan RM10 juta di bawah kempen ini yang akan memberi manfaat kepada 100,000 pelanggan atau penggunanya, selain turut menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma bagi pembelian yang dilakukan sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Armizan berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh agensi KPDN dan rakan strategik dalam sektor e-dagang iaitu Shopee itu adalah manifestasi komitmen untuk menyantuni rakyat dan tanda penghargaan atas kebersamaan seluruh rakyat Malaysia dalam membina negara yang lebih aman dan makmur.

Sementara itu, pada program hari ini beliau turut melancarkan Bas Ezbiz On-The-Go 2.0, yang merupakan perkhidmatan bergerak untuk memudahkan orang ramai mengakses perkhidmatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan lebih cepat, mudah dan selesa. 

Bas Ezbiz On-The-Go 2.0 yang menggantikan bas Ezbiz On-The-Go menampilkan reka bentuk lebih kontemporari dan mesra pelanggan termasuk penggunaan teknologi terkini.

Antara kemudahan yang dipertingkatkan ialah saiz bas yang lebih besar, perkhidmatan kaunter moden, terminal layan diri dengan kiosk skrin sesentuh mudah alih serta ruang taklimat yang selesa. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan