AM

MyGenom Rekrut Hampir 4,000 Peserta Setakat Ogos - Dzulkefly

28/08/2025 05:41 PM

SUNGAI SIPUT, 28 Ogos (Bernama) -- Projek MyGenom merekrut hampir 4,000 peserta di seluruh negara dengan 1,200 genom berjaya dijujuk menggunakan kemudahan penjujukan tempatan berprestasi tinggi setakat Ogos tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, lebih 1,000 peserta berjaya direkrut mewakili komuniti bumiputera termasuk Kadazan-Dusun, Bajau, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau.

"Untuk komuniti Orang Asli Semenanjung Malaysia, projek MyGenom ini akan melibatkan penglibatan suku kaum Jakun, Temuan, Bateq, Jahai, Semai dan Temiar bagi memastikan kepelbagaian genetik Malaysia benar-benar tercermin dalam pangkalan data genom negara," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Nor Fariza Ngah.

Dr Nor Fariza mewakili Dzulkefly merasmikan Majlis Pelancaran Pengumpulan Data Penyelidikan MyGenom Orang Asli di Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC), Bawong dekat sini hari ini.

Dzulkefly berkata masyarakat Orang Asli merupakan khazanah negara yang wajar dipelihara dan Kerajaan MADANI komited memperkukuh hak dan kesejahteraan mereka termasuk pendidikan, infrastruktur, kebajikan, kesihatan serta peluang pekerjaan, selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13.

Menurut Dzulkefly, projek MyGenom adalah berpaksikan prinsip keadilan kesihatan apabila data genom yang inklusif dapat mencegah bias dalam pemahaman penyakit dan tindak balas rawatan.

Pada masa sama katanya data itu juga membangunkan rawatan yang lebih tepat bagi penyakit kronik seperti jantung, diabetes, kanser serta penyakit jarang jumpa, selain menyokong pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang genomik dan bioteknologi kesihatan yang akan memperkukuh daya saing negara.

"Paling utama, ia (data berkenaan) menjamin bahawa komuniti Orang Asli dan semua etnik di Malaysia tidak tercicir daripada manfaat kemajuan sains kesihatan dan liputan penjagaan kesihatan sejagat.

Projek MyGenom diterajui penyelidik agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), Institut Bioteknologi Kebangsaan (NIBM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Institut Kesihatan Negara (NIH).

Pasukan projek MyGenom KKM menggunakan tiga strategi pengambilan sampel iaitu pengambilan secara berterusan di tujuh pusat pendermaan darah di hospital terpilih di seluruh negara, pengambilan sampel secara berkala di tiga pusat pendermaan darah di hospital terpilih dan pengambilan sampel untuk komuniti sasaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan