EKONOMI

RHB Bank Unjur NIM Tahun Kewangan 2025 Antara 1.80 Dan 1.83 Peratus

28/08/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- RHB Bank Bhd menjangkakan margin faedah bersihnya (NIM) berada dalam lingkungan 1.80 dan 1.83 peratus bagi tahun kewangan 2025.

Bank berkenaan turut mengunjurkan NIM, dengan inisiatif pengurusan liabiliti akan berada antara 1.88 peratus dan 1.91 peratus bagi tahun kewangan sama.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata penurunan kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh kedua 2025 dijangka memberi tekanan kepada NIM.

 Bagaimanapun, beliau menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan meningkat pada separuh kedua 2025, sekali gus membantu mengimbangi kekurangan dalam NIM.

“Kami kini memberi panduan kepada pasaran mengenai unjuran NIM 2025, yang mengambil kira pemotongan OPR dan Singapore’s Overnight Rate Average (SORA),” katanya pada sidang media maya mengenai keputusan separuh pertama 2025 kumpulan itu hari ini.

NIM RHB Bank mengecil kepada 1.81 peratus pada separuh pertama 2025, turun daripada 1.86 peratus pada tahun kewangan 2024, berikutan trend penurunan SORA.

Namun, Mohd Rashid berkata perubahan dalam SORA dan OPR lazimnya mempunyai kesan kelewatan antara tiga hingga enam bulan.

“Justeru, pada separuh kedua tahun ini, meskipun SORA dijangka terus menurun, kami mengunjur jurang lebih kecil berbanding apa yang dilihat pada separuh pertama.

“Ini didorong oleh penetapan semula deposit dan pendapatan berasaskan yuran yang lebih kukuh daripada pengurusan kekayaan pada penghujung suku kedua,” katanya.

Beliau berkata RHB Bank akan meneruskan usaha mengimbangi semula portfolio pelaburan di bawah Fair Value Through Other Comprehensive Income (FVOCI) pada separuh kedua 2025, yang akan menyumbang kepada pendapatan bukan faedah.

Kumpulan berkenaan turut terlibat dalam kerjasama strategik bancassurance dan bancatakaful pada 1 Ogos 2025, bagi mengukuhkan pertumbuhan jangka panjang serta membuka potensi dalam pasaran bukan kredit.

“Saya percaya ini akan menjadi sumber tambahan pendapatan bukan faedah pada separuh kedua tahun ini. Inilah antara pemacu utama yang akan menyokong pencapaian sasaran pulangan atas ekuiti kami tahun ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertumbuhan pinjaman domestik, RHB Bank kini menyasarkan pertumbuhan antara lima dan enam peratus, disemak turun daripada unjuran awal sebanyak enam peratus hingga tujuh peratus berikutan kesan tarif Amerika Syarikat dan kelembapan beberapa sektor ekonomi.

“Bagaimanapun, kami percaya pertumbuhan itu masih sihat. Sebahagian daripada kelulusan pinjaman yang diberikan pada separuh pertama tahun ini, khususnya pada suku kedua, dijangka memberi impak positif pada separuh kedua,” katanya.

Beliau turut berkata Singapura akan terus menjadi antara pemacu pertumbuhan utama kumpulan pada separuh kedua 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan