SUKAN

Mohamed, Nadien Lengkap Kejuaraan Berganda Mesir Di Trofi Tuanku Muhriz 2025

31/08/2025 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Pemain Mesir Mohamed Sharaf dan Nadien Elhammamy berada pada kelas tersendiri apabila masing-masing dinobatkan selaku juara perseorangan lelaki dan wanita pada kejohanan skuasy Trofi Tuanku Muhriz 2025 di Seremban hari ini.

Pada aksi final di gelanggang skuasy Kompleks Sukan Haji Mohd Said, Seremban 2, Mohamed bangkit daripada ketinggalan set pertama sebelum mengatasi wakil negara yang juga pilihan kedua kejohanan, C. Ameeshenraj, 3-1 (8-11, 11-9, 11-3, 15-13) dalam aksi yang berlangsung lebih sejam.

Dalam acara final wanita, Nadien hanya memerlukan masa 25 minit untuk merangkul kejuaraan apabila dengan mudah menewaskan wakil negara serta pemain No.48 dunia, Noor Ainaa Amani Ampandi, 3-0 (11-4, 11-2, 11-2).

Kejohanan anjuran Persatuan Squash Negeri Sembilan (PSNS) itu memasuki edisi keempat sejak diperkenalkan pada 2022 dan terus menarik penyertaan pemain elit antarabangsa dalam kalender Jelajah Cabaran PSA.

Sejak edisi sulung pada 2022, kejohanan itu telah melahirkan juara ternama antaranya Abhay Singh dari India (2022), Aly Hussein dari Mesir (2023) serta Lau Tsz Kwan dari Hong Kong (2024) dalam saingan lelaki.

Bagi aksi wanita pula, wakil Malaysia cemerlang menerusi Aira Azman yang merangkul gelaran pada edisi 2022 dan 2024, manakala S. Sivasangari memenanginya pada 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan