KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Pengendali skuad bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain mengakui barisan pemain yang dipanggil bagi Kelayakan Piala Asia B-23 2026 pada Rabu ini, mampu untuk menghasilkan keputusan positif di kejohanan berkenaan.
Justeru beliau berharap pemain-pemain yang disenaraikan, dapat memberikan aksi yang cemerlang untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi tahun hadapan.
“Berdasarkan prestasi dan keadaan semasa pemain saya rasa fizikal dan kecergasan adalah yang terbaik. Malah komitmen yang ditunjukkan pemain juga juga adalah positif.
“Jadi saya harap mereka akan beri sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang dipamerkan sebelum ini,” katanya menerusi video yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.
Sementara itu tonggak serangan Harimau Muda Fergus Tierney yang melapor diri lewat bersama skuad B-23, susulan komitmennya bersama pasukan Sabah FC mengakui tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri bersama pasukan.
Beliau berkata dirinya teruja dan untuk beraksi bersama pasukan negara di kejohanan tersebut, sambil berharap mampu membantu pasukan Malaysia menghasilkan keputusan yang positif.
“Sekarang saya berada pada keadaan yang baik. So sekarang saya rasa fit dan bersedia untuk bermain,” katanya.
Malaysia akan memulakan kempen kelayakan menentang Lubnan pada Rabu, diikuti Mongolia (Sabtu) dan menutup saingan kumpulan menentang tuan rumah Thailand pada 9 Sept.
Hanya sebelas juara kumpulan dan empat naib juara terbaik layak ke pusingan akhir di Arab Saudi, Januari depan.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia B-23 ialah pada 2024 di Qatar dengan pencapaian terbaik negara di kejohanan itu ialah mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial