Daripada Voon Miaw Ping
TIANJIN (China), 1 Sept (Bernama) -- Malaysia sedang meneroka pasaran baharu bagi industri semikonduktor sebagai sebahagian usaha pempelbagaian untuk menembusi pasaran baharu dan bukan tradisional, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata China telah mencapai kemajuan luar biasa dalam bidang itu, dan Malaysia berhasrat untuk belajar serta meneroka potensi kerjasama dengan rakan setaranya di China.
“Malaysia bertuah kerana menjadi hab semikonduktor di Asia Tenggara...dengan lebih 60 peratus produk elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor kami dieksport ke Amerika Syarikat.
“Jadi keputusannya adalah meneruskan usaha itu namun pada masa sama akan mencari pasaran baharu, dan kami sedang bekerjasama dengan syarikat China dan Jepun,” kata beliau semasa sesi soal jawab pada syarahan umum beliau yang diadakan di Universiti Tianjin di sini pada Isnin.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut menekankan kepentingan memupuk bakat baharu dalam bidang itu, sebagai contoh melibatkan teknologi terkini yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Terdapat peluang besar memandangkan China telah membuka pintunya, kata beliau.
Anwar berkata komponen latihan juga sama penting di samping jalinan kerjasama.
“Malah, esok saya akan bertemu dengan semua peserta industri semikonduktor yang berpangkalan di China untuk berbincang dan merangka formula. Kita perlu teroka peluang ini dan berusaha bersama-sama,” kata beliau.
Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja empat hari di China, yang merupakan lawatan keempat beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada November 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial