KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Ogos tahun ini mencatat detik bersejarah buat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Misi Bantuan Kemanusiaan Karisma (KHOM Malaysia) apabila berjaya melaksanakan penghantaran bantuan ke Gaza selepas kejayaan pertama pada Aidilfitri 2023.
Penghantaran menerusi pintu masuk Jordan yang bersempadan dengan wilayah Gaza itu sebahagian daripada Operasi Degupan Jantung Gaza yang digerakkan oleh KHOM Malaysia.
Pengarah Misi Nik Marina Hussin berkata dalam masa hanya seminggu pada Ogos lepas, KHOM Malaysia dengan sokongan rakyat Malaysia berjaya memuatkan enam treler bantuan dengan 3,246 kotak makanan, 150 beg tepung gandum seberat 50 kilogram (kg) setiap satu dan 1,034 peket susu bayi.
“Kami terharu dengan sokongan rakyat Malaysia, jelas dengan semangat patriotisme pada bulan kemerdekaan negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata KHOM Malaysia dengan kerjasama Organisasi Kebajikan Hashimiyah Jordan (JHCO) turut melaksanakan penghantaran secara digugurkan dari udara, membabitkan dua daripada treler bantuan bagi memenuhi keperluan kritikal, terutamanya di utara Gaza ekoran kebuluran yang melanda.
“Bantuan secara guguran udara itu dilaksanakan oleh Tentera Udara Diraja Jordan (RJAF) menggunakan pesawat C130 dan Airbus pada 18 dan 19 Ogos lepas.
“Buat kali pertama, KHOM Malaysia juga diberi akses khas ke pangkalan tentera RJAF di Zarqa, Jordan untuk menyaksikan sendiri penyediaan palet-palet bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia turut dilengkapi payung terjun, sedia untuk diterbangkan,” katanya.
Nik Marina berkata menyusuli kejayaan itu, pihaknya dimaklumkan baki empat treler berisi bantuan kemanusiaan yang diserahkan kepada JHCO sebelum ini juga dihantar secara berperingkat ke utara Gaza menerusi pintu masuk Jambatan King Hussein sekali gus menandakan pencapaian berganda buat rakyat Malaysia.
Beliau berkata Operasi Degupan Jantung Gaza dilaksanakan susulan kejayaan penghantaran masuk 2,400 tan bantuan ke zon perang itu pada 28 Julai lepas, berikutan pembukaan semula pintu sempadan oleh Israel selepas lima bulan penutupan.
“Keperluan untuk menghantar bantuan makin mendesak sekarang ini. Kita tidak tahu bila pintu akan ditutup dan tiba-tiba dibuka, jadi kami merayu rakyat Malaysia untuk terus menyumbang.
“Penting untuk sentiasa dalam keadaan siap sedia kerana apabila sumbangan terhenti, bermakna bantuan juga terhenti dan kita tidak boleh membiarkan ini berlaku,” katanya sambil menambah sumbangan boleh dibuat menerusi www.khom.org.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial