AM

Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025 Berkonsepkan Rakyat

02/09/2025 04:43 PM

KUCHING, 2 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak Tahun 2025 yang akan berlangsung di Bintulu mulai 14 hingga 16 Sept ini, bakal menyaksikan penganjuran pelbagai acara rasmi selain aktiviti berkonsepkan rakyat. 

Bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur Dalam Malaysia’ sambutan tahun ini dijangka menarik ribuan pengunjung daripada pelbagai kaum dan latar belakang, termasuk warga dari seluruh bahagian di Sarawak.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan itu berkata ia bakal menjadi wadah penyatuan masyarakat berbilang kaum, di samping menzahirkan semangat patriotisme serta kecintaan kepada negara.

“Program akan disusun dengan gabungan acara rasmi dan aktiviti mesra rakyat, merangkumi persembahan kebudayaan, pameran, perarakan serta aktiviti komuniti yang menonjolkan kepelbagaian budaya Sarawak,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025 di Bintulu, hari ini. 

Beliau berkata Bintulu dipilih sebagai lokasi sambutan tahun ini bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat serta pelancong dari luar menikmati keunikan daerah berkenaan, selain memperkukuh semangat perpaduan dan integrasi nasional.

Antara acara utama yang bakal diadakan ialah Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain, Majlis Kesyukuran, Malaysia Day Run, perhimpunan sambutan perayaan Hari Malaysia dan konsert rakyat di sekitar bandar Bintulu. 

Dr. Rundi berkata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir pada majlis sambutan itu. 

“Selain itu, kita juga memohon semua bangunan kerajaan, premis perniagaan, sekolah serta kediaman persendirian mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda menyemarakkan sambutan perayaan ini.

“Saya menyeru seluruh rakyat Sarawak untuk hadir beramai-ramai ke Tapak Lapangan Terbang Lama, Bintulu pada 16 Sept nanti pada 8 malam bagi meraikan sambutan Hari Malaysia kali ini,” katanya. 

Siaran langsung acara berkenaan boleh disaksikan di laman Facebook Unit Komunikasi Awam (UKAS) dan Youtube UKAS Channel. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan