DUNIA

Niaga Hadapan Emas Catat Paras Tertinggi Berikutan Jangkaan Penurunan Kadar Faedah

02/09/2025 08:51 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup pada paras tertinggi dalam sejarah hari ini, melepasi US$3,500 setiap auns berikutan jangkaan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan baharu berhubung kebebasan institusi Rizab Persekutuan.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata lonjakan harga logam berharga itu turut disokong oleh permintaan kukuh daripada bank-bank pusat.

“Majlis Emas Dunia melaporkan bahawa tahun lepas, emas telah mengatasi euro sebagai aset rizab kedua terbesar di peringkat global, merangkumi kira-kira 20 peratus daripada rizab rasmi.  Antara pembeli utama ialah India, China, Turkiye dan Poland,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata lonjakan harga kali ini amat signifikan kerana ia menandakan kali pertama harga emas semerta melepasi paras US$3,500 setiap auns, dengan paras tertinggi sebelum ini dicatatkan pada April selepas pengumuman tarif baharu.

Pada penutup dagangan hari ini, kontrak September 2025 meningkat kepada US$3,500.20 setiap auns troy berbanding US$3,420.40 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Kontrak Oktober 2025 menokok kepada US$3,519.3 setiap auns troy daripada US$3,449.90 ketika ditutup pada Jumaat, November 2025 naik kepada US$3,536.1 setiap auns troy daripada US$3,466.70 dan Disember 2025 melonjak kepada US$3,487.10 setiap auns troy daripada US$3,466.70 sebelum itu.

Kontrak Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 masing-masing ditutup tinggi pada US$3,556.50 setiap auns troy berbanding US$3,487.10 setiap auns troy pada Jumaat.

Jumlah dagangan menokok kepada 36 lot daripada empat lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka naik kepada 64 kontrak daripada 33 kontrak sebelum itu.

Emas fizikal berharga US$3,474.90 setiap auns troy mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 1 September.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan