AM

MINDEF Rancang Libat Urus Dengan KPM, Buka Peluang Kerjaya Kedua Untuk Veteran ATM

02/09/2025 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang merancang libat urus dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membuka ruang penglibatan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penugasan keselamatan di sekolah serta pejabat pendidikan di seluruh negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata buat masa ini, MINDEF melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi pengambilan veteran ATM sebagai warden luar asrama.

“Sebagai permulaan, dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), iaitu MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang telah memulakan projek rintis dengan melantik lapan warden luar asrama. Ini merangkumi dua lelaki dan dua wanita pada setiap MRSM,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi MINDEF di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata kementerian itu sentiasa meneroka pelbagai inisiatif lestari dan mampan untuk memperkasakan kesejahteraan veteran ATM, termasuklah penyediaan kerjaya kedua kepada mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata lima pegawai kanan ATM yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan membocorkan maklumat operasi telah digantung tugas untuk memberi ruang kepada penyiasatan yang lebih telus dan bebas.

Beliau berkata MINDEF tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku yang melibatkan pegawai terbabit sekiranya mereka didapati bersalah, selain memberi jaminan keseluruhan struktur dan operasi organisasi perisikan ATM tidak terjejas dengan insiden penahanan itu.

“Hal ini kerana organisasi perisikan ATM mempunyai sistem pengasingan maklumat atau compartmentalisation of information. Ini bermakna pangkalan data dan maklumat strategik diasingkan secara terancang bagi mencegah berlakunya kebocoran maklumat serta sentiasa melaksanakan audit keselamatan dalaman.

“Ini termasuklah pelaksanaan semakan latar belakang atau security vetting terhadap pegawai dan anggota, serta usaha berterusan untuk memperkukuh nilai integriti dan profesionalisme dalam kalangan pegawai perisikan di bawah organisasi ini,” kata beliau.

Mohamed Khaled berkata usaha itu sekali gus dapat mengurangkan risiko pendedahan anggota perisikan kepada cubaan manipulasi dan unsur eksploitasi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan, khususnya mereka yang cuba melindungi kegiatan jenayah.

Beliau berkata semua maklumat sulit pertahanan negara dikawal rapi melalui prosedur keselamatan yang ketat, termasuk penggunaan rangkaian komunikasi tertutup dan sistem yang selamat, manakala kawalan akses berlapis, penggunaan teknologi enkripsi serta pemantauan rangkaian secara berterusan turut dilaksanakan.

“Dengan itu, Kementerian Pertahanan memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan negara masih lagi terkawal, tidak terancam dan tidak tergugat,” katanya.

Turut menggulung perbahasan usul RMK13 pada hari ini ialah Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Sumber Manusia.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan