AM

AMME-18: Malaysia Komited Laksana Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu ASEAN Menjelang 2030

02/09/2025 10:24 PM

LANGKAWI, 2 Sept (Bernama) -- Malaysia mengulangi komitmen terhadap Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu ASEAN 2023-2030 sebagai panduan utama dalam memperkukuh usaha serantau ke arah ASEAN bebas jerebu rentas sempadan menjelang 2030, menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

NRES dalam kenyataan memaklumkan komitmen berkenaan ditekankan dalam Mesyuarat Jawatankuasa ke-20 (COM-20) di bawah Persidangan Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (AATHP) yang diadakan di sini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Malaysia melalui NRES, bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 hari ini.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan pelan hala tuju ini penting untuk memastikan tindakan negara anggota lebih terarah, terkoordinasi dan menghasilkan impak yang nyata di lapangan, termasuk dalam aspek kesiapsiagaan menghadapi kebakaran hutan dan tanah gambut serta mempromosikan pengurusan lestari sumber alam.

“Strategi utama yang dibincangkan termasuklah pencegahan menyeluruh oleh negara-negara anggota ASEAN melalui memperketatkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan pembakaran terbuka, pemantauan berterusan di kawasan berisiko kebakaran hutan serta tanah gambut dan pelaksanaan amalan guna tanah secara mampan.

“Sistem amaran awal pula ditambah baik dengan penggunaan teknologi satelit, pemodelan dan ramalan cuaca untuk mengenal pasti risiko awal,” menurut NRES dalam kenyataan itu yang dikeluarkan selepas mesyuarat.

Sementara itu, kenyataan berkenaan turut memaklumkan bahawa koordinasi serantau diperkukuh melalui penganjuran mesyuarat teknikal, latihan bersama secara berkala dan penyelarasan lebih erat berhubung dasar serta strategi rentas sempadan.

Menerangkan lanjut mengenai mesyuarat hari ini, kenyataan itu memaklumkan ia turut merangkumi beberapa topik penting termasuk status Bajet Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan ASEAN, Pelan Hala Tuju ASEAN Bebas Jerebu Kedua, penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan dan Rangka Kerja Pelaburan ASEAN untuk Pengurusan Tanah Mampan Bebas Jerebu.

Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk membuat persediaan menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) dengan pegawai kanan dari seluruh ASEAN membincangkan dokumen hasil utama untuk pertimbangan dan kelulusan AMME-18 kelak.

"Perbincangan berfokuskan kepada beberapa perkara substantif, termasuk draf Kenyataan Bersama ASEAN mengenai Perubahan Iklim ke Sesi ke-30 Persidangan Pihak-Pihak (COP30) di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC). 

"Mesyuarat berkenaan juga menilai pencalonan Taman Warisan ASEAN yang baharu serta meneliti sorotan Laporan Lembaga Pengelola Pusat Kepelbagaian Biologi ASEAN," menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan mesyuarat-mesyuarat ini telah memberi peluang kepada negara-negara anggota ASEAN untuk mengulangi komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi perlindungan alam sekitar, perubahan iklim dan pencemaran jerebu merentasi sempadan. 

"Hasil perbincangan ini akan menyumbang kepada pengukuhan usaha kolektif ASEAN ke arah rantau yang mampan, berdaya tahan dan bebas jerebu," menurut kenyataan itu.

AMME-18 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) selama tiga hari bermula hari ini, menghimpunkan menteri-menteri alam sekitar ASEAN dan pegawai kanan untuk membincangkan kerjasama serantau mengenai kelestarian dan pengurusan alam sekitar inklusif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan