EKONOMI

Cadangan Sambung Jajaran ECRL Ke Rantau Panjang Masih Pada Peringkat Awal Perbincangan - PM Anwar

03/09/2025 02:47 PM

Daripada Voon Miaw Ping

BEIJING, 3 Sept (Bernama) -- Cadangan untuk menyambung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, Kelantan, yang bersempadan dengan Thailand masih pada peringkat awal perbincangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pasukan yang terlibat perlu meneliti butirannya, kos dan kaedah pembayaran. Berdasarkan ini merupakan kesinambungan, kosnya mungkin lebih rendah,” kata beliau kepada media Malaysia pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan selama empat hari ke China.

Anwar berkata perkara itu turut dibincangkan dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri China Li Qiang dalam pertemuan dua hala secara berasingan di sini semalam.

"Cadangan adalah ke arah itu, antara 20 dan 25 kilometer ke Rantau Panjang berhampiran sempadan Thailand,” kata beliau. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berharap cadangan tersebut dapat direalisasikan dalam usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan itu.

“Kawasan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, terutamanya Rantau Panjang, agak kurang membangun.

“Kami berharap dengan adanya stesen ini, ekosistem pembangunan dan perniagaan dapat ditingkatkan,” kata beliau.

Bulan lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberitahu Dewan Rakyat bahawa perbincangan lanjut dengan China dan kontraktor utama, China Communications Construction Co Ltd (CCCC) adalah perlu berikutan projek tersebut kini dalam pembinaan dan jajaran landasan ke Rantau Panjang adalah sebahagian daripada pakej projek. 

Dalam perkembangan lain, Anwar mengesahkan bahawa Li akan mewakili China pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada akhir bulan depan.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata secara keseluruhannya, mesyuarat perniagaan yang diadakan di Beijing berjaya meraih potensi pelaburan berjumlah RM905 juta, terutamanya dalam sektor kimia dan telekomunikasi.

Beliau berkata dari segi potensi eksport pula, Malaysia meraih sebanyak RM108 juta menerusi platform e-dagang sehenti China, JD.com.

“Kita juga berjumpa dengan wakil China Semiconductor Industrial Association (CSIA) dan mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Ini telah menjana potensi eksport sebanyak RM2.2 bilion dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang dan perdagangan semikonduktor antara Malaysia dan China turut meningkat,” katanya.

Selain CSIA, Anwar turut mengadakan siri pertemuan perniagaan peringkat tinggi dengan syarikat terkemuka China dalam lawatan kerja beliau yang bermula di Tianjin pada 31 Ogos.

Ini termasuk dengan Rianlon Corporation, syarikat konglomerat terkemuka China dalam bahan tambahan anti-penuaan untuk polimer dan kosmetik, menyatakan komitmen untuk melabur sebanyak RM820 juta bagi membangunkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor.

Anwar turut mengadakan perbincangan dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), syarikat penyedia perkhidmatan infrastruktur terbesar global dan membincangkan mengenai pembangunan projek ECRL.

Pertemuan beliau dengan JD.com di Beijing telah menarik minat syarikat e-dagang dan logistik terkemuka China itu untuk mengembangkan perniagaannya, terutamanya dalam sektor logistik di Malaysia.

Beliau berkata JD.com turut berhasrat untuk membeli lebih banyak produk Malaysia untuk dipasarkan di China.

Pada sesi dialog perniagaan dengan 120 peneraju China dari pelbagai sektor, Anwar telah mempromosikan Malaysia sebagai hab serantau untuk perniagaan China.

Beliau menekankan dasar ekonomi negara yang jelas, infrastruktur strategik dan persekitaran yang stabil sebagai antara kelebihan utama untuk pelabur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan