LANGKAWI, 4 Sept (Bernama) -- Dialog Menteri ASEAN-EU mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang julung kali diadakan di sini melengkapkan agenda alam sekitar ASEAN yang semakin berkembang dengan kepimpinan EU dalam menetapkan sasaran iklim lebih progresif serta perlindungan alam sekitar melalui inisiatif seperti European Green Deal dan komitmen terhadap karbon neutral.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata dialog itu bakal mewujudkan rangka kerja kerjasama alam sekitar, memperkukuh pembangunan kapasiti dan pemindahan teknologi, selain meneroka sinergi dalam menangani cabaran bersama termasuk pencemaran plastik, kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim.
“Daripada inisiatif ekonomi kitaran kepada perlindungan alam sekitar marin, daripada pemuliharaan biodiversiti hingga ketahanan iklim, agenda kita hari ini mencerminkan keluasan dan kedalaman kerjasama yang boleh dicapai antara kedua-dua rantau.
“Cabaran yang kita hadapi, sama ada menamatkan pencemaran plastik, melindungi lautan atau membina daya tahan iklim, menuntut tindakan kolektif yang melangkaui sempadan geografi. Hari ini, kita mula membina respons kolektif itu,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini hari ini.
Dialog yang dipengerusikan bersama Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) itu menyerlahkan komitmen kedua-dua rantau terhadap kerjasama alam sekitar.
Sementara itu, Pesuruhjaya Eropah bagi Iklim, Pelepasan Sifar Bersih dan Pertumbuhan Mampan, Wopke Bastiaan Hoekstra, menegaskan semula komitmen EU untuk kekal sebagai rakan dipercayai dalam memperkasa tindakan iklim, dengan menekankan keperluan mendesak kerjasama lebih erat dengan ASEAN bagi menangani cabaran alam sekitar global.
Beliau berkata Eropah dan ASEAN berkongsi pandangan yang sehaluan dalam aspek geopolitik, perdagangan dan alam sekitar, dan keserasian itu penting dalam dunia yang kini berdepan pergolakan semakin mencabar.
“Perubahan iklim akan terus memberi kesan kepada setiap pelosok bumi dan ia perlu menjadi keutamaan utama, malah memerlukan tindakan segera. Jika melihat kepada data, 2024 merupakan tahun paling panas dalam rekod dan pertama melepasi paras 1.5 darjah Celsius berbanding era pra-industri. Lebih membimbangkan, kadar tindakan iklim global, malangnya, masih terlalu perlahan.
“Semua orang di rantau indah anda, begitu juga di rantau kami, menerima kesan daripada keadaan ini. Maka kita tiada pilihan; kita mesti menetapkan aspirasi yang lebih berani,” katanya pada dialog itu.
Mesyuarat Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) selama tiga hari yang bermula Selasa menghimpunkan menteri alam sekitar ASEAN dan pegawai kanan bagi membincangkan kerjasama serantau mengenai kelestarian dan pengurusan alam sekitar inklusif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial