GEORGE TOWN, 4 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM34.7 juta kepada nelayan berdaftar menerusi skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) Projek Pulau Silikon.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB) Datuk Seri Farizan Darus berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM11.7 juta telah disalurkan bagi pembayaran ex-gratia kepada 95 peratus daripada 877 nelayan yang berdaftar.
'Menerusi peruntukan ini, kerajaan negeri turut menyediakan 121 buah bot dan enjin baharu bernilai RM90,000 setiap satu kepada nelayan dari unit Sungai Batu dan Permatang Tepi Laut kerana kawasan mereka terkesan dengan projek tersebut.
“Kerajaan negeri juga akan menguruskan penyerahan bantuan bot dan enjin baharu untuk 173 nelayan aktif dari unit Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul, walaupun pelaksanaan Projek Penang South Island (PSI) kini melibatkan hanya sebuah pulau iaitu Pulau Silikon, berbanding tiga pulau sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Manfaat SIMP di Kampung Binjai, Sungai Bayan Lepas di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan, dengan 51 penerima menerima manfaat antaranya bot, sijil jurumudi, bangsal dan insentif kecemerlangan anak nelayan.
Farizan berkata bot baharu berukuran 27 kaki panjang dan 7.4 kaki lebar itu dilengkapi enjin berkapasiti lebih besar iaitu 90 atau 100 kuasa kuda mengikut jenama pilihan tekong masing-masing.
Katanya, setiap tekong Tahap 1 yang layak juga akan menerima kelengkapan tambahan seperti robot, sonar, GPS dan pukat bagi membantu mereka pergi lebih jauh ke laut untuk memperoleh hasil tangkapan lebih lumayan.
Menurutnya, inisiatif SIMP bukan sahaja bertujuan menjaga kebajikan nelayan dan melindungi ekosistem marin, malah memberi manfaat jangka panjang kepada keluarga mereka melalui pendidikan dan pembangunan kemahiran.
“Harapan kami adalah untuk melahirkan generasi baharu yang berpengetahuan, berdaya saing dan mampu membentuk masa depan lebih cerah untuk komuniti nelayan.
“Dengan nelayan kini semakin menitikberatkan pendidikan anak-anak mereka dan sokongan daripada Jabatan Pendidikan, usaha ini akan memastikan manfaat pembangunan Pulau Silikon dapat dikongsi bersama penduduk setempat serta masyarakat lebih luas,” katanya.
Terdahulu, Mohamad dalam ucapannya berkata hasil tinjauan menunjukkan sokongan masyarakat terhadap PSI semakin meningkat, didorong oleh manfaat yang disalurkan melalui SIMP dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM).
Katanya, dapatan itu mencerminkan keyakinan terhadap usaha kerajaan negeri melindungi kebajikan nelayan di samping memberikan manfaat sosioekonomi jangka panjang.
“Tinjauan terbaharu oleh Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) mengesahkan trend ini, dengan majoriti daripada 180 penerima yang ditemu bual setakat ini memberikan maklum balas positif. Hasil tinjauan turut menunjukkan penerimaan yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti nelayan dan penduduk,” katanya.
Sementara itu, seorang nelayan, Hashimi Hamzah, 50, berkata beliau bersyukur menerima bot baharu yang lebih selesa dan selamat bagi meneruskan kerja menangkap ikan untuk menyara keluarga.
Beliau yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai nelayan berkata bot baharu itu membolehkan beliau turun ke laut sejauh 20 batu nautika, berbanding sebelum ini sekitar 10 batu nautika sahaja.
“Alhamdulillah, sebelum ini saya terpaksa menumpang bot kawan kerana bot sendiri rosak akibat ribut hujung tahun lalu. Kini dengan bot baharu, saya boleh pergi lebih jauh dan dapat hasil laut lebih banyak,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Eng Phang, 62, dari Gertak Sanggul turut berkongsi kegembiraan menerima bot baharu dan berkata hasil tangkapannya kini semakin bertambah.
“Bila dapat lebih banyak hasil terutama udang, pendapatan juga meningkat. Harap selepas ini lebih banyak hasil dapat diperoleh kerana bot baharu ini boleh pergi lebih jauh. Terima kasih kepada kerajaan negeri,” katanya yang sudah lebih 20 tahun menjadi nelayan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial