AM

Malaysia, Korea Hidupkan Semula Rundingan MoU Keusahawanan - Ramanan

04/09/2025 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Kerajaan sedang mempertimbangkan langkah untuk menyelaras semula majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pembangunan keusahawanan antara Malaysia dan Korea, yang tertangguh sejak pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata perkara itu dibincangkan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Startups dan Inovasi Republik Korea Jungwook Lim di Jeju, Korea, hari ini.

Ramanan berkata usaha penyelarasan itu dijangka dilakukan melalui proses ratifikasi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia–Korea yang kini giat dirunding dan disasarkan untuk dimuktamadkan seawal hujung tahun ini.

“Malaysia melihat MoU ini sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta ‘start-up’.

“Ia bukan sahaja menjadi platform perkongsian pengetahuan malah membuka peluang lebih luas kepada usahawan kedua-dua negara untuk berinovasi, berkolaborasi dan menembusi pasaran global,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Ramanan berkata MoU itu mula dirunding pada 2019 dan dimuktamadkan pada April 2021, namun majlis menandatanganinya tertangguh susulan pandemik COVID-19 serta perkembangan politik termasuk Pilihan Raya Umum di Malaysia ketika itu.

Beliau berkata wakil kerajaan kedua-dua negara terus berusaha menghidupkan semula rundingan melalui beberapa saluran rasmi, termasuk komunikasi dengan Kementerian PMKS dan Start-up (MSS) Korea pada Jun 2024 serta Kedutaan Republik Korea pada April tahun ini.

Beliau berkata Malaysia komited memperkukuh hubungan rapat dengan MSS bagi mencari peluang terbaik memuktamadkan MoU tersebut, sama ada menerusi lawatan bilateral khusus atau semasa pertemuan peringkat menteri pada masa akan datang.

“Melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Malaysia sentiasa memberi keutamaan kepada usaha memperkasa bidang keusahawanan. Justeru, lawatan ini merupakan proses libat urus yang dapat mengukuhkan lagi misi tersebut,” katanya.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa KUSKOP Mohamad Mahil Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy serta pegawai kanan kementerian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan