EKONOMI

Harga Jualan Kenderaan Ditentukan Pasaran, Bukan Dikawal Kerajaan - MITI

04/09/2025 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Harga jualan kenderaan di Malaysia tidak dikawal oleh kerajaan dan ia ditentukan oleh pasaran, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Katanya kerajaan melalui Kementerian Kewangan menyediakan pelbagai insentif dan pengecualian cukai kepada kenderaan yang dipasang di Malaysia termasuk kepada syarikat pengeluar kenderaan nasional. 

“Antara tujuan insentif diberikan kepada pengeluar ialah bagi menggalakkan penggunaan komponen keluaran vendor tempatan, membuat pelaburan berkualiti serta menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia. 

“Melalui insentif dan pengecualian cukai ini, pengeluar kenderaan dapat menawarkan harga yang kompetitif bagi pasaran tempatan berbanding kenderaan yang diimport sepenuhnya,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai sama ada kementerian berhasrat untuk mengkaji semula harga kereta buatan Malaysia yang dilihat terlalu mahal sehingga rakyat terpaksa mengambil pinjaman sewa beli yang bertahun-tahun sedangkan kereta tempatan tidak mempunyai duti import.

Dalam pada itu, MITI berkata pengeluar kenderaan seperti Perodua ada mengeluarkan kenderaan kategori Rahmah yang dijual dengan harga mampu milik (RM22,000 tanpa insurans) bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kenderaan. 

Katanya Proton juga mempunyai model Saga yang berharga kurang daripada RM40,000. 

“Kerajaan berharap dengan kaedah ini, rakyat boleh memilih kenderaan yang sesuai dengan kemampuan masing-masing bagi mengelak bebanan kewangan yang tinggi kepada mereka,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan