DUNIA

Trump Akan Tukar Nama Jabatan Pertahanan AS Kepada "Jabatan Perang"

05/09/2025 11:56 AM

ISTANBUL, 5 Sept (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat akan menandatangani perintah eksekutif untuk menukar nama Jabatan Pertahanan kepada “Jabatan Perang,” lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt pada Khamis.

Langkah itu, yang pertama kali dilaporkan Fox News, akan mengembalikan gelaran bersejarah yang digunakan sehingga 1949 sebelum agensi tersebut disusun semula di bawah Akta Keselamatan Negara 1947.

Perintah itu akan menetapkan “Jabatan Perang” sebagai gelaran sekunder bagi Pentagon dan mengarahkan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth mengambil gelaran tambahan sebagai “Setiausaha Perang.”

Ia turut mengarahkan Hegseth mencadangkan langkah perundangan dan eksekutif untuk menjadikan perubahan itu kekal serta mengemas kini papan tanda dan laman web Pentagon, termasuk menukar nama bilik taklimat hal ehwal awam kepada “Annex Perang Pentagon,” kata seorang pegawai Rumah Putih kepada Fox.

“Semua orang suka kerana kita mempunyai sejarah kemenangan yang luar biasa ketika ia dikenali sebagai Jabatan Perang,” kata Trump kepada pemberita pada 25 Ogos.

Hegseth berkata langkah itu mencerminkan perubahan budaya dalam jabatan tersebut.

-- BERNAMA-ANADOLU



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan