DUNIA

Niaga Hadapan MSM Dijangka RM4,300-RM4,480 Satu Tan Minggu Depan

06/09/2025 10:23 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Dagangan niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka dalam julat lebih kecil minggu depan berikutan kekurangan pemangkin pasaran, kata peniaga komoditi itu, David Ng.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata harga diunjurkan dalam julat RM4,300 hingga RM4,480 satu tan.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata pasaran kini menunggu data Persatuan Minyak Sawit Malaysia mengenai anggaran pengeluaran minyak sawit Malaysia bagi Ogos.

Beliau berkata stok minyak sawit Malaysia pada akhir Ogos dianggarkan 2.214 juta tan -- meningkat 4.76 peratus daripada 2.113 juta tan pada Julai berikutan peningkatan pengeluaran sebanyak satu peratus kepada 1.831 juta tan.

Bagi asas perbandingan mingguan, kontrak semasa September 2025 meningkat RM63 kepada RM4,371 satu tan manakala kontrak Oktober 2025 menokok RM65 kepada RM4,412 satu tan.

Kontrak November 2025 melonjak RM68 kepada RM4,448 satu tan, Disember 2025 naik RM67 kepada RM4,475 manakala Januari 2026 dan Februari 2026 masing-masing meningkat RM65 kepada RM4,490 dan RM4,482 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 141,151 lot berbanding 294,986 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menguncup pada 252,812 kontrak berbanding 253,380 kontrak sebelum ini.

Harga fizikal MSM untuk September Selatan meningkat RM30 kepada RM4,400 satu tan.

Pasaran ditutup pada Jumaat (5 September) bersempena cuti umum Maulidur Rasul dan akan beroperasi semula pada Isnin (8 September).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan