GUA MUSANG, 6 Sept (Bernama) -- Mendengar laungan azan berkumandang tanpa gangguan bunyi tembakan, sudah cukup untuk membuatkan Sarjan (B) Ahmad Tarmizi Dollah Ahmed yang pernah bertugas bersama pasukan pengaman antarabangsa semasa perang Bosnia-Herzegovina, mensyukuri nikmat menjadi rakyat Malaysia.
Ahmad Tarmizi, 59, berkata pengalaman bertugas sebagai anggota paramedik ketika negara itu sedang bergolak hampir tiga dekad lepas, membuatkan beliau begitu menghargai keamanan yang dikecapi hasil kemerdekaan tanah air pada 1957.
“Sewaktu dihantar ke Bosnia-Herzegovina bersama Kumpulan IFOR (International Force) Malcon II saya melihat sendiri bagaimana peperangan meragut nyawa dan menghancurkan kehidupan rakyatnya.
“Mereka hidup daif. Kem yang kami duduki asalnya sebuah sekolah, dengan dindingnya penuh kesan darah. Saat melangkah masuk, perasaan bercampur-baur, sayu, pilu, dan marah. Ia pengalaman yang mahal yang membuatkan saya benar-benar sedar betapa nikmatnya keamanan di Malaysia,” katanya.
Ahmad Tarmizi berkata paling tidak dapat dilupakan apabila kem pasukannya di Glamoc iaitu sebuah bandar kecil di Bosnia, diserang pihak bersenjata dari waktu senja hingga awal pagi menyebabkan sepanjang tempoh itu mereka tidak berani melelapkan mata takut diserang hendap.
Ahmad Tarmizi yang menyarung seragam Angkatan Tentera Malaysia bermula 1988 dengan berpangkat prebet sebelum dinaikkan ke pangkat Sarjan pada tahun 2000, bertanggungjawab di bahagian perubatan dan memastikan setiap anggota yang menjalankan misi pengaman dalam keadaan sihat.
Selain ditugaskan di Bosnia, beliau juga pernah dihantar ke Pakistan susulan gempa bumi melanda wilayah Battargram, selain berkhidmat di Timor Leste bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan membantu mangsa taufan Nargis di Myanmar.
Khidmat cemerlang dalam pasukan membolehkan beliau menerima pelbagai pengiktirafan antaranya Pingat Perkhidmatan Setia (PPS), Pingat NATO dan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB).
“Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana walaupun negara ini terdiri daripada pelbagai kaum kita mampu hidup dengan aman. Anak-anak dapat pergi bersekolah dan kita pula dapat keluar mencari rezeki tanpa risau soal keselamatan.
“Keamanan yang dikecapi ini, harus kita pertahankan untuk kehidupan generasi akan datang,” katanya yang menjadikan mendiang Datuk Kanang Anak Langkau sebagai idolanya sepanjang perkhidmatan kerana keberanian dan semangat perjuangan yang dipamerkan oleh bekas wira negara itu dalam menentang ancaman komunis.
Senada dengan Ahmad Tarmizi, Ketua Balai Polis Presint 11 Putrajaya Sub Inspektor Amir Jaafar yang mengakui nikmat keamanan dan pembangunan pesat dikecapi negara adalah anugerah tidak ternilai yang perlu dipelihara dan dipertahankan.
Pernah bertugas dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2010 di Timor Leste, Amir Jaafar berkata beliau melihat sendiri bagaimana rakyat negara itu hidup dalam serba kekurangan akibat pergolakan yang berlaku, berbanding Malaysia yang mempunyai segala kemudahan termasuk pendidikan, perubatan serta bantuan disediakan kerajaan.
“Tugasan ini antara pengalaman paling unik dan berharga dalam perjalanan karier saya sebagai seorang anggota polis apabila saya ditugaskan menjadi pegawai penyiasat tribunal jenayah untuk mengendalikan kes pembunuhan serta konflik berdarah antara Timor Leste dan Indonesia.
“Di sana saya pernah melalui satu detik cemas apabila hampir dibawa arus akibat enjin kenderaan pacuan empat roda yang saya pandu secara tiba-tiba mati di tengah sungai yang berarus deras. Tetapi dengan izin Allah enjin dapat dihidupkan semula dan keluar daripada situasi getir itu,” katanya.
Pengorbanan dan khidmat bakti itu akhirnya diiktiraf apabila Amir dianugerahkan dua pingat penghargaan iaitu daripada kerajaan Timor Leste dan PBB, yang menjadi bukti abadi sumbangan pasukan keselamatan negara di persada antarabangsa.
Amir berkata bumi Timor Leste turut menjadi saksi rakyat Malaysia dihormati sebagai anggota pengaman dan mudah diterima kerana sifat peramah, pemurah serta sering membantu penduduk tempatan.
Selain itu, persamaan bahasa Melayu dengan Indonesia memudahkan urusan hingga sering menjadi sandaran pegawai PBB bagi menyelesaikan pelbagai insiden dengan penduduk setempat.
Penerimaan baik itu bukan sesuatu yang asing kerana menurut Amir, sikap pemurah, mesra serta suka membantu sudah sebati dalam darah rakyat Malaysia dan hal itu juga turut diterapkan dalam pasukan ‘Sang Saka Biru’.
“Itulah wajah sebenar Malaysia yang dihormati dunia dan semangat ini harus kita bawa dalam menjiwai erti kemerdekaan. Nilai ini juga perlu diamalkan walau di mana kita berada,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial