AM

Hospital Pengajar UNIMAS Dijangka Siap November 2026 - Ahmad Maslan

06/09/2025 12:00 PM

KOTA SAMARAHAN, 6 Sept (Bernama) -- Projek Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang kini memasuki fasa kedua dijangka siap sepenuhnya pada 12 Nov tahun depan dengan kemajuan kerja setakat ini mencapai 66.17 peratus, iaitu tiga hari lebih awal daripada jadual.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata hospital itu berkapasiti 300 katil dan bakal menyokong ekosistem pengajaran serta pembelajaran dalam bidang Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS, selain menyediakan kemudahan kesihatan kepada penduduk di empat bahagian iaitu Samarahan, Kuching, Serian dan Sri Aman.

“KKR menerusi Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia akan terus memantau kemajuan projek dengan rapi melalui sesi libat urus berterusan dan pemeriksaan berkala bagi memastikan ia siap mengikut masa, kos dan kualiti ditetapkan,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau projek berkenaan hari ini.

Projek bernilai RM485.99 juta itu dilaksanakan secara reka dan bina oleh Perbena Emas Sdn Bhd dengan Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia sebagai agensi pelaksana.

Fasa pertama projek berkenaan yang merangkumi Pusat Kesihatan Prima (PKP) siap dan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi pada 13 Jun lepas.

PKP berfungsi sebagai pusat kesihatan harian bagi kes tidak kritikal dengan kemudahan termasuk bilik X-Ray, klinik batuk, klinik mata, klinik warga, makmal perubatan serta bilik pemeriksaan kesihatan awam.

Selain itu, fasa pertama turut merangkumi pembinaan surau, pusat asuhan kanak-kanak, kafeteria, pondok pengawal, bangunan mekanikal dan elektrik serta tangki air aras tinggi.

Ahmad berkata pemantauan berterusan terhadap projek itu selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan prinsip prihatin dan ihsan terhadap keperluan rakyat, sekali gus mempercepatkan manfaat kepada warga UNIMAS dan komuniti setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan