Oleh Ummu Khalidah Hamzah
KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Siri gempa bumi kecil yang melanda Johor baru-baru ini mencerminkan tahap kesedaran rendah masyarakat terhadap risiko seismik di Malaysia, kata pakar pengurusan bencana Raja Segaran Kuppusamy.
Beliau, yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Jurutera Pengurangan Risiko Bencana di Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Iraq, berkata ramai rakyat Malaysia masih beranggapan negara ini kebal daripada gempa bumi, sedangkan pergerakan plat tektonik semakin mengubah keadaan geologi tempatan.
“Orang ramai tidak percaya gempa boleh berlaku di sini. Mereka hanya memikirkan banjir, jerebu dan tanah runtuh. Tetapi apabila gegaran berlaku di Johor, mereka terkejut. Ini menunjukkan kesedaran awam tentang risiko seismik masih sangat terhad,” katanya kepada Bernama.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, negara ini semakin terkesan dengan pergerakan aktif plat Sunda.
Katanya, gegaran di Johor harus dilihat sebagai amaran awal kerana gempa lebih kuat berpotensi mencetuskan tanah runtuh, banjir, tsunami serta kerosakan teruk pada jalan raya, jambatan dan bangunan tinggi.
Raja Segaran menggesa pendekatan lebih menyeluruh di peringkat negeri, daerah dan komuniti akar umbi untuk meningkatkan kesedaran, mencontohi beberapa negara Timur Tengah yang mengamalkan komunikasi langsung dengan masyarakat untuk menyampaikan amaran awal.
Menurut beliau, Jepun dan China telah berjaya membina ketahanan melalui pengalaman berdekad-dekad serta kerjasama erat antara pihak berkuasa dan rakyat.
Katanya, bencana alam memang tidak dapat dielakkan, namun kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda boleh diminimumkan dengan persediaan awal, peningkatan kesedaran serta pematuhan kepada piawaian pembinaan yang lebih kukuh.
“Jika kita gagal melaksanakan langkah pencegahan, mitigasi dan kesiapsiagaan mulai sekarang, risiko bencana lebih besar seperti tsunami, tanah runtuh dan gempa bumi lebih kuat akan meningkat pada masa depan,” tegasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan memasukkan pertimbangan seismik dalam reka bentuk bangunan, sambil menegaskan ramai jurutera masih mengabaikan aspek itu kerana beranggapan Malaysia selamat.
“Syukurlah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kini mewajibkan semua pihak berkepentingan mengguna pakai piawaian reka bentuk keselamatan yang mampu melindungi nyawa semasa gempa bumi dan tsunami,” katanya.
Johor dilaporkan mengalami sekurang-kurangnya lapan gegaran sepanjang minggu lalu, termasuk gempa berukuran 4.1 magnitud di Segamat pada 24 Ogos dan gegaran 2.9 magnitud berhampiran Sri Medan, Parit Sulong, pada 3 Sept.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial