IPOH, 6 Sept (Bernama) -- Pemilik tanah lot di Perak kini berpeluang memiliki rumah mampu milik menerusi Skim Rumah Ibu yang menawarkan lapan model kediaman berharga antara RM98,000 hingga RM238,000 seunit.
Pengasas merangkap Presiden Rumah Ibu Sdn Bhd Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata syarikat itu bersedia membina kediaman mampu milik dengan harga paling rendah menerusi model Fusion berkeluasan 540 kaki persegi dilengkapi dua bilik tidur dan satu bilik air berharga RM98,000.
Beliau berkata harga kesemua model kediaman yang ditawarkan itu selari dengan komitmen Rumah Ibu sebagai perusahaan sosial yang menyokong pertumbuhan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui penyediaan rumah mampu milik dengan perkhidmatan sokongan yang inklusif.
“Sejak dilancarkan pada Februari 2024, sebanyak 244 pemilik tanah lot telah berdaftar di bawah skim ini dan kami terus menerima permintaan baharu, khususnya bagi model Elation (RM138,000) dengan keluasan 750 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.
“Satu lagi model Evolution (RM141,000) pula berkeluasan 755 kaki persegi yang dilengkapi empat bilik tidur dan dua bilik air,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pembaharuan Semula Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.
Kamarul Rashdan berkata selain model Fusion, Elation dan Evolution, skim itu turut menawarkan model lain iaitu Compression, Impression, Impassion, Devotion dan Obsession.
Beliau berkata model Compression pada harga RM111,000 dengan 590 kaki persegi, tiga bilik tidur dan satu bilik air, manakala model Impression berharga RM148,000 melibatkan 795 kaki persegi, tiga bilik tidur dan dua bilik air.
“Kami juga mempunyai model Impassion (RM171,000; 900 kaki persegi; tiga bilik tidur dan dua bilik air), Devotion (RM198,000; 1,050 kaki persegi; empat bilik tidur dan tiga bilik air) serta model Obsession (RM238,000; 1,252 kaki persegi; empat bilik tidur dan tiga bilik air)," katanya.
Kamarul Rashdan berkata skim itu menyasarkan pemilik tanah lot di 66 kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) di seluruh negeri Perak melibatkan 6,995 lot dengan 1,000 unit rumah setiap tahun.
Mengulas tempoh pembinaan, Kamarul Rashdan berkata purata menyiapkan sebuah Rumah Ibu adalah antara empat hingga enam bulan, bergantung kepada model, faktor cuaca, lokasi serta kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Model Fusion boleh disiapkan dalam tempoh sebulan, manakala model paling besar, Obsession mengambil masa dua bulan kerana menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).
“Namun, tempoh sebenar boleh menjadi lebih lama disebabkan proses kelulusan pihak berkuasa tempatan yang mengambil masa antara tiga hingga enam bulan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial