KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Jasmine Food Corporation Sdn Bhd bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melancarkan mural interaktif bertemakan "Nasi Warisan Kita" di Jalan Kamunting di sini, bagi memartabatkan kawasan berkenaan sebagai antara tumpuan pelancong.
Mural berukuran 650 kaki persegi itu dihasilkan tiga artis tempatan yang mengambil masa seminggu untuk disiapkan, sekali gus menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
Ketua Bahagian Penjenamaan dan Pembangunan Produk Jasmine Food Corporation Farhan Hafetz berkata pengunjung boleh mengimbas kod respons pantas (QR) di mural berkenaan bagi melihat pergerakan mural menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (AR).
"Jalan Kamunting ini sebenarnya mempunyai banyak kedai makan yang agak tersembunyi. Jadi, kita mahu orang tahu di Kuala Lumpur ini ada kawasan yang sangat cantik dan sedap makanannya. Kita mahu jadikan mural ini sebagai satu ikon di sini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran mural itu, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Jasmine Food Corporation Alan Kwong dan Duta Jasmine Food serta pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan.
Farhan berkata pelancaran mural itu turut menyantuni acara Kuala Lumpur Bebas Kenderaan (KL Car Free Morning) hari ini dengan sebanyak 1,000 pek nasi lemak diedarkan kepada pengunjung, sebagai hidangan ikonik mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia.
"Satu daripada kita punya kerjasama bersama DBKL adalah untuk menguar-uarkan lagi KL Car Free Morning ini, jadi bila kita ada mural di sini, kita akan semakin kerap melakukan aktiviti seperti aktiviti CSR dan sebagainya untuk menarik lagi pengunjung," katanya.
Tinjauan Bernama di lokasi pelancaran mural pagi ini mendapati ia disambut meriah oleh peserta KL Car Free Morning yang berjoging dan berbasikal seawal 7 pagi, bagi mendapatkan nasi lemak percuma dan bergambar bersama mural interaktif berkenaan.
Sementara itu, Jalaluddin yang hadir mempromosikan pelancaran tersebut berkata mural itu yang memaparkan wajah pelbagai bangsa dan budaya menikmati hidangan berasaskan nasi, dapat mencetuskan semangat kesatuan masyarakat majmuk di negara ini.
"Ini satu benda yang automatik mencetuskan minda kita, kerana suasana beginilah yang kita hendak, pemandangan beginilah yang kita hendak. Jadi ini secara tak langsung membina semangat kita, mendidik anak cucu kita bahawa inilah negara kita, hidup aman dan damai," katanya.
Orang ramai yang hadir pada pagi ini juga dijemput menyertai peraduan "Snap & Win" yang berlangsung hingga Disember ini yang memerlukan mereka mengambil gambar paling kreatif di mural Jasmine Food dan dikongsikan dengan tanda pagar #NasiWarikanKita di platform Facebook atau Instagram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial