ISKANDAR PUTERI, 7 Sept (Bernama) -- Malaysia tidak akan mengambil mudah terhadap keupayaan Palestin apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 esok, dengan Ketua Jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski dan menegaskan bahawa disiplin dan konsistensi taktikal penting untuk persembahan yang mantap.
Cklamovski berkata Palestin merupakan lawan yang hebat dengan gaya permainan agresif dan pemain yang berkualiti, dan Malaysia mesti terus fokus pada permainan mereka untuk menunjukkan peningkatan di Stadium Sultan Ibrahim di sini.
“Ini akan menjadi perlawanan yang sangat baik antara dua pasukan yang kuat. Kami menghormati Palestin, mereka pasukan yang sangat bagus. Apa yang penting bagi kami ialah mengekalkan prinsip, fokus pada prestasi pasukan, mentaliti, dan etika kerja.
“Esok satu peluang untuk tunjuK penambahbaikan daripada perlawanan sebelum ini. Ketika bertemu Singapura kami mempunyai 20 percubaan berbanding 5 oleh pihak lawan. Ada banyak yang positif, tetapi kami perlu jaringkan gol.
“Esok akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi peluang terbaik untuk uji diri kami. Kami tahu kekuatan mereka, tetapi objektif kami ialah untuk kekal dengan permainan kami dan samakan keupayaan mereka,” katanya kepada media hari ini.
Mengenai pemilihan skuad, Cklamovski sahkan akan ada beberapa pertukaran kerana jadual yang padat, semua pemain akan diberi kesempatan kerana Malaysia tidak boleh bergantung pada 11 pemain yang sama secara terus-menerus.
“Kami perlu uruskan skuad, terutamanya dengan jadual yang padat. Sesiapa pun yang bermula esok, dan pemain gantian yang masuk, semuanya mempunyai peranan penting.
“Beberapa hari selepas bertemu Singapura, kami perlu lakukan perjalanan dan pulih, dan kini bersiap sedia menghadapi Palestin. Tetapi kami tidak bergantung kepada seorang pemain... kami berharap pada struktur pasukan kami, dan semua orang akan berikan sumbangan.
“Kami akan bermain mengikut cara yang kami mahukan, dengan agresif dan disiplin. Bola sepak sentiasa menjadi cabaran, tetapi kami percaya kami juga boleh mengeksploitasi apa yang ada ketika menentang mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial