BAGAN DATUK, 7 Sept (Bernama) -- Malaysia merancang memobilisasikan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Afghanistan bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi yang melanda negara itu, baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu akan dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Abdul Halim Hamzah.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin supaya Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (Kor Kesihatan Diraja) turut dihantar menyertai SMART dalam misi berkenaan.
"Saya juga akan mengkoordinasikan agar NGO (pertubuhan bukan kerajaan) terutamanya kumpulan sukarelawan yang dapat membantu mangsa di mana mereka ada pengalaman membantu mangsa banjir dan juga malapetaka alam yang lain.
"Insya-Allah kita esok akan menghubungi Duta Afghanistan di Kuala Lumpur untuk membincangkan perincian bagi penghantaran pasukan ini bagi membantu mereka yang terjejas di Afghanistan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Motivasi Desa (MODE)@KEMAS KKDW dan Program Bakti MADANI@KPT, di sini hari ini.
Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda timur Afghanistan sekitar tengah malam 31 Ogos lepas yang disusuli beberapa gegaran.
Pada Khamis, portal Ariana News melaporkan bahawa angka korban akibat gempa bumi di Afghanistan telah melebihi 2,200 orang, dengan lebih 3,600 lagi cedera.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial