POLITIK

Banteras Politik Identiti Jika Mahu Raih, Kekal Kemenangan - Dzulkefly

07/09/2025 04:20 PM

IPOH, 7 Sept (Bernama) -- Politik identiti yang bersifat merendahkan kelompok lain serta menggunakan agama atau etnik perlu dibanteras, bagi memastikan kemenangan dan kelangsungan dalam pilihan raya, kata Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan berkata politik identiti menjadi antara punca perpecahan dalam parti atau gabungan politik, maka pendekatan yang lebih inklusif dan berprinsip perlu diutamakan.

“Sangat mustahak untuk kita membanteras politik identiti, sebaliknya menjunjung politik berprinsip serta menolak total politik identiti sempit yang menghancurkan perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak di sini hari ini, dengan tema “Menang Bersama”.

Turut hadir Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Dzulkefly berkata rundingan sedang berjalan dengan penuh hikmah dan berharap permohonan parti itu untuk bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dapat dipertimbangkan.

Terdahulu, Naib Presiden Amanah Adly Zahari berkata permohonan untuk bertanding di lima kerusi telah dikemukakan melalui perbincangan bersama kepimpinan Pakatan Harapan, selain rundingan dengan Barisan Nasional (BN) dan GRS.

DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan